PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menjemput orang ramai menjayakan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Immunity Challenges melalui platform media sosial TikTok.
Cabaran selama tiga bulan itu merangkumi lima program iaitu ‘ANMS Immunity Video Challenge’, ‘ANMS Immunity Mental Menti Challenge’, ‘ANMS Immunity Jingle Challenge’, ‘ANMS Immunity Terpaling Healing’ dan ‘ANMS Immunity Dance Challenge’.
Menerusi satu kenyataan, KKM berkata, cabaran itu dianjurkan di bawah inisiatif ANMS bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pembudayaan hidup sihat.
Jelasnya, tema utama bagi cabaran ini adalah ‘Tingkatkan Imuniti Badan’.
“KKM bekerjasama dengan lima orang pempengaruh media sosial TikTok bagi menjayakan cabaran ini yang berlangsung selama tiga bulan.
“Cabaran berkonsep interaktif ini bukan sahaja menyebarkan maklumat pembudayaan hidup sihat kepada masyarakat malah menguji kreativiti peserta melalui penghasilan video kreatif,”katanya.
Mengulas lanjut, KKM berkata, antara pempengaruh media sosial TikTok yang terlibat adalah Yazmin Aziz (@yazminaziz), Jayden Chong (@jaydenczx), Thiyagu B (@thiyagu_b), Mr. Shaque (@mistashaque) dan Nurhayati Tahir (@nurhayatitahirr_).
“Peringkat pusingan pertama telah bermula dari 31 Disember 2023 sehingga 2 Mac 2024 dan pemenang akan diumumkan secara ‘live’ bersama-sama dengan pempengaruh yang terlibat di TikTok MyHealthKKM pada April 2024 nanti.
“Penyertaan adalah percuma dan terbuka kepada rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun dan ke atas. Pelbagai hadiah menarik termasuk wang tunai keseluruhan berjumlah RM40,000 menanti para pemenang,”ujarnya.
Untuk maklumat lanjut,layari laman sesawang https://www.infosihat.gov.my/-KOSMO! ONLINE