PETALING JAYA – Malaysia perlu bersedia mengambil risiko dalam menjadikan pelaburan dan perdagangan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi khususnya dalam ekonomi digital dan hijau.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, 2024 adalah tahun yang penting untuk negara terus maju di atas asas yang telah dibina tahun lepas.
“Selain itu, kita mesti kekal di laluan yang telah dirangka, tidak kira betapa sukarnya cabaran.
“Kita juga perlu menjelaskan inisiatif dan rasionalnya secara konsisten kepada rakyat dan bagaimana ianya memanfaatkan mereka dalam jangka masa panjang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Tengku Zafrul menegaskan rakyat Malaysia memerlukan pemikiran radikal dan perlu yakin dalam mencapai sesuatu yang di luar jangkaan biasa, seperti penyelesaian radikal berdasarkan teknologi terbaharu bagi menyelesaikan masalah yang kelihatan mustahil untuk diatasi.
“Kita perlu beralih daripada pemikiran: “Kita tidak boleh lakukan X,Y,Z kerana ini Malaysia, & kita rakyat Malaysia,” kepada: “Kita AKAN buat X,Y,Z, KERANA ini Malaysia & KERANA kita rakyat Malaysia.”
“Pendekatan sebegini sepatutnya menjadi resmi kita, beralaskan sikap ingin tahu & keyakinan yang kental,” ujarnya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul memberitahu azam tahun baharunya adalah untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia berfikiran sebegitu dan meyakinkan mereka untuk terus berbuat demikian.
“Matlamat kita adalah untuk mengukuhkan masa depan ekonomi Malaysia, di mana belia kita mempunyai pekerjaan dengan gaji yang berpatutan, dan syarikat mencapai keuntungan berlipat ganda.
“Azam peribadi saya pula adalah untuk makan lebih sihat, tingkatkan kecergasan dan mencipta detik lebih bermakna bersama keluarga. Mohon doakan kedua-duanya tercapai untuk saya!,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE