KUALA LUMPUR – Kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terus dilaporkan menguasai ibu kota terus dibanteras dengan serbuan mengejut di tiga lokasi tarikan pelancong, sebentar tadi.
Operasi yang bermula pada pukul 9.15 malam itu dilakukan Jabatan Imigresen (JIM) dan tertumpu di kawasan sekitar hadapan pusat beli-belah Suria KLCC, Pintasan Saloma dan Pavilion, Bukit Bintang.
Pemeriksaan dijalankan oleh 40 pegawai dan anggota diketuai Timbalan Ketua Pengarah Operasi JIM, Jafri Embok Taha.
Sehingga pukul 10 malam tadi, lebih 50 individu diperiksa namun sebahagian daripada mereka dilepaskan selepas mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Antara warga asing yang ditahan adalah warga Filipina, Pakistan, Nepal dan mereka yang memiliki kad pengenalan merah atau pemastautin tetap.
Tumpuan yang dilakukan oleh penguat kuasa JIM adalah memeriksa individu yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen dan Peraturan Imigresen.
Maklumat penuh operasi dijangka akan diperoleh selepas operasi berakhir kira-kira pukul 12 tengah malam nanti. – KOSMO! ONLINE