SUDAH beberapa kali jemputan daripada pawang toman Malaysia, Nankairel untuk membuat liputan ke Batu Arang Excotic Fishing Park (BAEFP), Batu Arang, Selangor ditolak penulis kerana percanggahan waktu.
Maklumlah, sejak memegang rekod dunia toman IGFA secara rasmi, Nankairel tidak menang tangan memenuhi undangan dari seluruh negara untuk menjayakan roadshow.
Akhirnya, ajakan kali keempat membuatkan penulis bersetuju memandangkan sudah agak lama tidak turun kelapangan.
Menjadi penghargaan buat penulis kerana terpilih antara yang terawal memancing di BAEFP.
Tambahan pula, jemputan ini datangnya daripada Nankairel sendiri.
Mungkin kerana masih belum lagi move on daripada kekuatan penghuni di Luconia Shoals (Sarawak), ia sedikit sebanyak membuatkan penulis kurang bersemangat turun memancing.
Terletak di Batu Arang, Rawang iaitu kira-kira sejam pemanduan dari Kuala Lumpur, kunjungan penulis ke BAEFP diiringi adik ipar penulis, Zairul Azlin Kamarulzaman yang baru berjinak-jinak dengan dunia hanyir selepas ‘termakan racun’ penulis.
Ketibaan penulis dan Zairul disambut mesra oleh Nankairel yang sedang berehat bersama dua orang ‘askar’, Haiqal Azmi dan Harith Azmi.
Mereka menunggu kedatangan penulis seawal pukul 7 pagi.
Sebelum memulakan sesi melontar pada pagi itu, Nankairel yang bertindak sebagai penyelia dan juga tester bagi BAEFP memberikan sedikit taklimat mengenai kawasan tersebut.
Berkeluasan hampir 4 hektar, kolam BEAFP mula diambil alih sejak tahun 2018 oleh dua orang rakan kongsi yang menggemari aktiviti memancing ikan bersaiz ‘bas’.
Berkonsepkan tangkap dan lepas, BEAFP didirikan bagi memenuhi permintaan pemancing terutamanya mereka yang gemar memburu ikan eksotik iaitu spesies diketahui mempunyai kekuatan melawan hebat.
Anggaran keseluruhan jumlah ikan yang menghuni BAEFP kira-kira 15,000 ekor ikan pelbagai spesies seperti patin Chao Phraya, raja, pacu, baung ekor merah Amazon, toman, tapah, siakap air tawar dan lain-lain. Kesemuanya bersaiz antara lima hingga belasan kilogram.
Mulanya, sasaran utama penulis adalah tapah memandangkan penulis belum pernah mendaratkan spesies itu.
Penulis dan Zairul memulakan aktiviti pagi tersebut dengan mengilat secara blind-cast, iaitu melontar gewang secara rawak ke kawasan yang mempunyai ‘samai’, ‘rebai’ atau tempat ikan jenis pemangsa menghendap.
Set up peralatan pilihan penulis, joran mengilat 10-20lb, dipadankan bersama mesin kekili menegak (baitcasting) atau BC beserta tali, 20lb.
Beberapa jenis gewang boleh digunakan untuk tujuan itu, antaranya gewang jenis permukaan seperti buzz-bait atau pencil.
Kebiasaan, bunyi bising yang dihasilkan ketika menarik gewang akan menarik perhatian ikan terutamanya toman.
Hampir dua jam penulis mengilat, tiada sambaran ganas yang terjadi, hanya kelihatan ‘boiling’ daripada sekumpulan ikan patin Chao Phraya aktif mengejar mangsa jauh di tengah-tengah kolam.
Disebabkan paras air agak tinggi daripada kebiasaan kerana hujan pada malam sebelumnya, ikan culas membaham gewang.
Lalu penulis menukar strategi menggunakan gewang kepada perut ayam hasil saranan Nankairel.
Kami berpindah ke satu sudut kolam berdekatan rumah penjaga, di sinilah Nankairel mengeluarkan umpan killer (perut ayam) bagi spesies bermisai.
Menjadi kebiasaan teknik pancingan dasar, umpan akan dibaling dahulu ke dalam kolam untuk menarik ikan berkumpul.
Penulis masih memakai set up yang sama, cuma usus ayam dicangkuk ke mata worm-hook.
Tidak perlu menunggu lama, sebaik umpan mencecah air, satu henjutan berat dari dasar kolam membuatkan joran penulis melentur.
Beberapa detik kemudian, joran kepunyaan Zairul dihenjut padu.
Dua ekor baung ekor merah Amazon bersaiz sederhana berjaya dinaikkan.
Jelas terpancar kepuasan di wajah Zairul apabila berjaya menaikkan ikan tersebut.
Ini merupakan pengalaman pertama Zairul menaikkan ikan bersaiz besar. Sebelum ini sekadar mengilat haruan di parit sekitar rumahnya di Meru, Klang.
Di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, anak-anak Nankairel juga tidak kurang hebat apabila berjaya menaikkan baung ekor merah Amazon.
Menutup sesi pancingan pada hari tersebut, Zairul menaikkan ikan pacu seberat hampir tujuh kilogram, seterusnya mencatat rekod peribadinya.
Kolam BAEFP bakal dibuka kepada umum pada Februari 2024 dengan bayaran yang akan diumumkan kelak.