PETALING JAYA – Maestro muzik terkenal, Datuk Ramli MS atau Tok Ram diserang vertigo ketika dalam perjalanan menziarahi ibunya di Singapura baru-baru ini.
Menurut isterinya yang juga penyanyi, Datin Alyah atau nama penuhnya Noor Hasliah Abu Hassan, 43, pada awalnya Tok Ram mengadu kepalanya mula berasa pening di perhentian bas Larkin, Johor Bahru, Johor.
“Pada 2 Januari lalu, dia rancang nak pulang ke Singapura untuk melawat ibu dan menyambut ulang tahun kelahiran saya di sana.
“Ketika tiba di Tuas Check Point, kereta saya tidak dibenarkan masuk kerana perlu memperbaharui permit kenderaan kemudian kami patah balik ke Larkin.
“Setibanya di perhentian bas Larkin, Tok Ram diserang vertigo dan mengadu kepala sudah berpusing (pening),” katanya dalam Instagram hari ini.
Tidak menunggu lama selepas memasuki Singapura, bekas ketua juri Gegar Vaganza itu meminta dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan segera.
“Selepas melepasi Woodland Check Point, Tok Ram minta hantar ke hospital dan lakukan pemeriksaan dari pukul 3 pagi hingga 6 pagi.
“Keesokannya, saya dan Tok Ram ke Pusat Perubatan Mounth Elizabeth untuk pemeriksaan lebih lanjut mengenai masalah vertigonya yang semakin kerap menyerang.
“Maaf jika tak dapat menjawab semua panggilan dan membalas ucapan hari jadi kerana sibuk memandu menemani Tok Ram lakukan pemeriksaan kesihatan serta urusan lain,” katanya lagi.
Alyah yang popular menerusi lagu Kisah Hati berkata, dia bagaimanapun syukur melihat keadaan kesihatan Tok Ram yang semakin pulih dan gembira berpeluang berkumpul dengan keluarga di Singapura.
Katanya, Tok Ram juga sudah lama tidak menziarah keluarganya di Singapura sejak bermulanya program Gegar Vaganza baru-baru ini.
“Selepas pemeriksaan kesihatan, dia sempat bertemu dengan adik-adiknya. Ketika itu dia rasa mungkin sudah okey. Dia pun gembira dapat jumpa keluarga sebab sudah lama tak balik Singapura.
“Gegar Vaganza berlangsung dalam tempoh yang lama, jadi dia memang tidak ada masa untuk balik melawat keluarga.
“Saya juga syukur kerana ditemani seorang idnividu bernama Kak Nomah yang sama-sama ke hulu ke hilir. Inilah orang baik yang Allah SWT kirim pada kami ketika waktu sukar,” ujarnya lagi.
Dalam perkongsian sama, Tok Ram juga dilihat duduk di atas kerusi roda ketika melakukan pemeriksaan kesihatan. – KOSMO! ONLINE