LONDON – Selain mahu meneruskan saingan, perhitungan Piala FA menentang Sunderland di Stadium of Light, malam ini menjadi detik penting buat Newcastle United untuk kembali ‘bernyawa’ selepas dipalit tiga kekalahan berturut-turut di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pengendali pasukan, Eddie Howe yang kini dihimpit spekulasi pemecatan mengakui keyakinan pasukan sudah pun terjejas, namun memberi ingatan kepada para pemainnya supaya kekal tenang dan tidak bertindak keterlaluan.
Mengambil kira kedudukan keempat liga semakin sukar untuk dikejar, Newcastle seakan mengalih tumpuan kepada Piala FA bagi menyelamatkan imej pasukan dengan memburu penamat terbaik pada saingan tersebut.
“Kami perlu dapatkan keputusan baik dan itulah mesej yang saya sampaikan kepada pemain selepas aksi dengan Liverpool. Tiada guna untuk terlalu menumpukan kepada analisis tentang apa yang sudah pun berlaku.
“Kami akan cuba memberikan respons dan pemain juga perlu terus melihat ke depan khususnya untuk hadapi Sunderland. Kami tahu betapa pentingnya perlawanan ini, jadi saya harap seluruh perhatian dan tenaga dapat dicurahkan pada perlawanan itu,” katanya.
Sebelum ini, The Magpies mengalami kekecewaan apabila gagal meneruskan saingan di Liga Juara-Juara, tersingkir pada aksi Piala Liga Inggeris dan sukar menempatkan diri di kelompok lebih baik dalam saingan EPL.
Keutamaan Howe kini pastinya membina keyakinan pemain selepas mengakui isu kecederaan beri kesan buruk kepada prestasi semasa pasukan. – AGENSI