JELI – Kerajaan memperuntukkan dana sebanyak lebih RM50 juta untuk kerja-kerja pembaikan jalan runtuh dan rosak di beberapa buah negeri yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peruntukan segera itu melibatkan beberapa jalan yang mengalami kerosakan seperti cerun runtuh, runtuhan jalan dan jalan berlubang.
Menurutnya, kesemua kerja-kerja pembaikan itu akan dilaksanakan segera dan dijangka siap pada April ini atau sebelum Hari Raya Aidilfitri.
“Kerajaan memperuntukkan lebih RM50 juta untuk kerja-kerja pembaikan jalan akibat banjir di beberapa negeri yang terlibat di Semenanjung.
“Segala kerja pembaikan dilaksanakan segera. Kita telah mengarahkan semua syarikat konsesi yang terlibat untuk menyiapkannya dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan tanah runtuh di Jalan Kampung Sungai Sam-Jeli berhampiran Kampung Kubur Datu, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Alexander memberitahu, Kelantan dan Terengganu merupakan antara negeri yang tertinggi menerima peruntukan bagi kerja pembaikan jalan akibat banjir.
Katanya, setakat ini, sebanyak enam lokasi telah dikenal pasti untuk kerja-kerja pembaikan jalan akibat banjir di Kelantan dengan kos sebanyak RM10.6 juta.
“Lokasi tersebut antaranya di Jeli iaitu di Jalan Kampung Sungai Sam-Jeli dengan anggaran kos baik pulih sebanyak RM700,000 dan Jalan Berdang-Sungai Rual (RM5 juta) dan Jalan Panglima Bayu-Rantau Panjang-Jeram Perdah di Rantau Panjang (RM1.3 juta).
“Selain itu, Jalan Pulai ke Gua Musang melibatkan kos pembaikan sebanyak RM1.5 juta, Jalan Kota Bharu-Rantau Panjang (RM900,000) dan Jalan Lojing-Gua Musang (RM1.2 juta),” katanya. – KOSMO! ONLINE