MIAMI, FLORIDA – Tindak balas polis secara besar-besaran terhadap pergaduhan remaja di sebuah pusat beli-belah mencetuskan teori bahawa kejadian itu melibatkan makhluk asing setinggi 3 meter.
Akhbar Metro UK melaporkan, lebih 60 kereta polis dengan siren dibunyikan diletakkan di sepanjang jalan berhampiran pusat beli-belah Bayside Marketplace di Miami, Florida pada malam 1 Januari lalu.
Sebuah klip video yang tular di laman X dan dirakam dari sebuah bangunan tinggi memaparkan lebih banyak kereta peronda tiba walaupun pusat beli-belah itu sudah dipenuhi kenderaan polis.
“Panggilan untuk semua unit di bandar Miami. Kami tidak tahu apa yang berlaku. Beginilah keadaan apabila semua unit polis dikerahkan,” kata seorang individu dalam bahasa Sepanyol.
Orang ramai melaporkan bahawa mereka mendengar bunyi tembakan di pusat beli-belah itu.
Laporan mendapati bunyi itu sebenarnya dicetuskan oleh bunga api yang dilemparkan oleh sekumpulan remaja yang merusuh di dalam pusat beli-belah tersebut.
Polis memaklumkan bahawa mereka mengiringi 50 remaja bawah umur keluar dari bangunan tersebut dan menahan 15 lagi remaja yang membelasah seorang pemandu di lokasi kejadian.
Sebuah klip video berasingan memaparkan susuk tubuh berwarna kelabu setinggi 3 meter bergerak perlahan di hadapan empat kereta polis.
Netizen bagaimanapun menafikan teori bahawa pergaduhan itu dicetuskan oleh makhluk asing kerana kualiti video itu terlalu rendah. – AGENSI