PETALING JAYA – Luahan pelakon Nabila Huda terhadap seorang wanita berterusan apabila dia menyifatkan individu tersebut sebagai manusia paling jahat pernah dikenalinya sepanjang hidup.
Menurut Nabila atau nama penuhnya Nabila Huda Suhaimi, 39, selain jahat, dia juga berpendapat individu itu sangat sukakan perhatian dalam setiap perkara dilakukan.
“Kaulah manusia paling jahat pernah aku jumpa. Ini jenis manusia yang dahagakan perhatian, mahu rasa dihargai dan tunjuk buat kerja bersungguh-sungguh tetapi sangat licik.
“Kau adalah manusia yang bijak mempergunakan tetapi hakikatnya kau bodoh sebab semua tahu apa kau lakukan di belakang.
“Kemudian, kau mandikan orang dengan kesenangan (bukan duit sendiri) dan mengungkit kerana usaha tidak dihargai serta akhirnya kaulah mangsa,” katanya dalam aplikasi X.
Bintang filem Budak Flat itu berkata, tahap kesabarannya terhadap sikap individu tersebut sudah melebihi had dan terpaksa berkongsi kemarahannya kepada umum.
Dia juga berkata, ‘amukan’ tersebut sebagai peringatan mesra terhadap individu terbabit.
“Maaf ya, hari ini memang rasa hendak maki sahaja. Ini adalah amaran terhadapnya.
“Saya hanya berdoa ada sedikit keinsafan dalam dirinya,” ujarnya.
Anak kepada penyanyi rock, Datuk Amy Search itu menambah, sikap buruk individu tersebut mungkin berpunca disebabkan kegilaan terhadap kuasa dan harta.
“Apabila manusia terlalu dahagakan kuasa dan duit, mulalah buruk perangai.
“Sudah mula tidak menghormati orang, lupa diri dan busuk hati tetapi tidak juga sebab dia memang dilahirkan dengan hati hitam.
“Memang dilahirkan jahat! Jiwa dia penuh hasad dengki dan cemburu!” katanya lagi.
Semalam, Nabila mengundang kejutan apabila meluahkan kemarahan terhadap seorang wanita yang disifatkan penuh toksik apabila sentiasa memporak-perandakan keadaan.
Dia juga hanya menunggu masa untuk mendedahkan ‘permainan kotor’ wanita yang kerap mendakwa dirinya sebagai mangsa. – KOSMO! ONLINE