PETALING JAYA – Genap sebulan pemergian kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 7, namun misteri pembunuhannya masih belum dapat terungkai lagi.
Ibunya, Ismanira Abdul Manaf, 28, berkata, dia sangat merindui anak sulungnya itu dan berharap semoga pelaku cepat ditemui dan diberikan hukuman yang setimpal.
“Genap sebulan pemergian anak sulung mommy. Mommy rindu sangat-sangat nak peluk cium awak Zayn. Allahu sungguh mommy rindu pada awak nak..
“Semoga ada sinar buat Zayn. Semoga pelaku tu cepat ditemui dan diberikan hukuman yang setimpal, amin,” tulisnya dalam satu hantaran di Insta Story.
Dalam hantaran yang sama, ibu kepada dua orang anak itu turut mengimbau kembali saat dirinya mencium anak kesayangannya itu buat kali terakhir di Bilik Forensik.
Katanya, ketika Allahyarham masih hidup, dirinya tidak pernah melepaskan peluang untuk memeluk dan mencium kedua-dua anak lelakinya.
“Pipi Zayn lembut sangat. Kali terakhir mommy dapat cium pipi Zayn di Bilik Forensik, pipi Zayn masih lembut. Sama je macam Zayn mula-mula lahir.
“Mommy pegang kepala Zayn lama-lama, Mommy cium perut Zayn juga masa tu. Sebab memang hari-hari Mommy suka cium dan geletek perut Zayn,” luahnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan kanak-kanak itu ditemukan meninggal dunia di sebatang sungai kira-kira 200 meter dari Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, kira-kira pukul 10 malam, 6 Disember lalu.
Adik Zayn Rayyan dijumpai di lokasi terbabit selepas dilaporkan hilang lebih 30 jam.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa dibunuh susulan kesan kecederaan pada leher dan badan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memberi jaminan siasatan terhadap kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin tidak akan dihentikan meskipun tiada petunjuk baharu ditemukan setakat ini.
“Kes ini tidak diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) meskipun tiada petunjuk baharu ditemukan setakat ini. Siasatan akan masih diteruskan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.