ISTILAH percutian langsung tidak pernah wujud dalam diri semua 26 pemain yang akan membawa cabaran Harimau Malaya di pentas Piala Asia kali ini.
Walaupun terpaksa melupakan rehat selepas menamatkan musim penuh mencabar dalam saingan domestik, setiap pemain juga sedar komitmen dan tanggungjawab besar untuk memenuhi harapan daripada peminat.
Penyerang negara, Darren Lok berkata, seluruh pasukan kini semakin bersemangat untuk buktikan Malaysia tidak sekadar bernasib baik untuk layak dan enggan menjadi pelengkap jadual pertandingan.
“Kumpulan yang sukar kerana setiap pasukan yang hadir ke pertandingan ini memiliki kekuatan. Tetapi, seperti yang saya katakan selepas kami mampu lakukan tugas dengan baik untuk layak, kini kami kena ada keyakinan.
“Kami cuba menikmati pertandingan ini dan buktikan yang kami sebenarnya memang berhak untuk berada di sini. Semua orang sudah pun bersedia dan tidak sabar untuk memulakan pertandingan,” katanya.
Ini adalah kali pertama Harimau Malaya layak secara merit selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 1980.
Penampilan terakhir ketika menjadi tuan rumah bersama dengan Indonesia, Thailand dan Vietnam pada edisi 2007 berakhir dengan kekecewaan selepas menghuni tangga tercorot Kumpulan C, sekadar menjaringkan satu gol dan melepaskan 12 gol dalam tiga perlawanan.