KOTA TINGGI – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap sedia menerima sebarang arahan dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam membantu mangsa banjir terlibat dalam mendepani proses pasca banjir.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementeriannya juga dalam keadaan berjaga-jaga bagi berhadapan dengan situasi banjir di seluruh negara.
“Kita akan terus dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia bagi berhadapan dengan situasi banjir bukan sahaja di Kota Tinggi, tetapi di semua daerah di Johor dan juga termasuk di seluruh negara.
“Setakat ini belum ada lagi amaran gelombang (banjir) hanya dimaklumkan tentang hujan lebat sehingga esok.
“Semua ini dibawah Nadma dan kita sedia terima apa-apa tugasan apatah lagi diperlukan untuk bantu pasca banjir,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Rendah Agama Bersepadu Kota Tinggi di sini hari ini.
Terdahulu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi turut melakukan lawatan di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina New Kota dan juga Sekolah Kebangsaan Laksamana, Kota Tinggi.
Mohamed Khaled berkata, bagi banjir di Kota Tinggi, seramai enam pegawai dan 66 pangkat lain yang berpangkalan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram ditugaskan membantu mangsa banjir.
Katanya, ATM juga melihat semua aspek dari segi bantuan termasuklah menyediakan trak yang berkaitan bagi menghadapi situasi jalan putus di kawasan banjir.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan projek tebatan banjir Sungai Johor yang dapat mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan telah pun ditenderkan dan dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat.-KOSMO! ONLINE.