PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora yang dijangka berlaku di beberapa kawasan perairan negara hingga Isnin depan (8 Januari).
MetMalaysia dalam laman sesawangnya memaklumkan, amaran kategori pertama membabitkan kejadian angin kencang berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak melebihi 2.5 hingga 3.5 meter (m) dijangka berlaku di kawasan perairan barat laut Reef North.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” katanya.
Dalam pada itu, jabatan tersebut turut mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat sehingga pukul 7 malam ini.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal berlaku di negeri Kedah (Baling, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan) dan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim),” jelas MetMalaysia.
Katanya, keadaan tersebut juga diramal berlaku di Kelantan melibatkan Jeli, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai, Terengganu serta Pahang di Jerantut, Bentong, Maran dan Bera.
“Selain itu, ia juga dikeluarkan bagi negeri Selangor di Sabak Bernam, Klang dan Kuala Langat dan Johor di Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.
“Bagi negeri Sarawak pula melibatkan daerah Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu (Tatau) dan kawasan di Sabah iaitu di Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE