PETALING JAYA – Sebanyak 14 buah kenderaan beroda (tuk-tuk) disita atas beberapa kesalahan di sekitar kawasan Jalan Kuantan dan Jalan Tembeling, Taman Tasik Titiwangsa, di sini semalam.
Antara kesalahannya adalah, pemilik gagal mempamerkan lesen atau permit bagi membina serta membuat stor penyimpanan sementara di tempat awam.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi kenyataan hari ini berkata, Operasi Tindakan Khas Aktiviti Perniagaan yang bermula pukul 10 malam itu melibatkan seramai 51 orang pegawai, anggota penguat kuasa dan kakitangan.
Ujarnya, hasil pemeriksaan mendapati sebanyak tiga buah struktur dijadikan setor bagi penyimpanan barangan dan peralatan berkaitan aktiviti perniagaan penyewaan melibatkan basikal dan kenderaan beroda.
“DBKL turut membuat satu tindakan sitaan ke atas penjaja makanan dan minuman tanpa lesen yang menjalankan aktiviti di tempat awam.
“Tindakan penguatkuasaan khas dijalankan menerusi kesalahan di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.
“Tindakan penguatkuasaan susulan akan dilaksanakan selepas ini bagi memastikan semua aktiviti perniagaan yang mendapat lesen kelulusan dan kebenaran sahaja dibenarkan beroperasi disekitar kawasan Taman Tasik Titiwangsa,” katanya.
Tambah DBKL, tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas akan dilakukan sekiranya masih terdapat pemilik aktiviti perniagaan dan penjajaan ingkar arahan semasa yang telah dikeluarkan sebelum ini.
“Barangan dan peralatan yang disita dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Jalan Lombong Taman Miharja Cheras untuk rekod penyimpanan sementara dan dokumentasi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE