PETALING JAYA – “Disebabkan penyapu robot saya kena darah tinggi. Ya kena praeklampsia kira-kira tiga minggu lalu.”
Demikian luahan pelakon Yana Samsudin yang kini dirawat di sebuah hospital akibat praeklampsia atau penyakit darah tinggi dialami ibu hamil.
Yana atau nama sebenarnya, Norliana Samsudin, 40, berkata, semuanya berlaku gara-gara terkejut melihat anaknya bermain dengan penyabu robot dan bakul sampah di pejabat.
“Kali ini saya bawa anak-anak ke pejabat kerana tiada pembantu. Sebagai ibu, saya peka dengan kebersihan dan virus ini. Jadi, terlalu sensitif kerana pernah masuk hospital sebab influenza A serta jangkitan muntah anak.
“Jadi saya pesan kepada mereka duduk main dalam pejabat sahaja, jangan keluar di kawasan pekerja kerana risau virus Covid-19. Dah nama budak-budak, mereka main juga lari-lari.
“Sampailah malam sewaktu mesyuarat terakhir baru saya nampak mereka lari satu pejabat sampai bakul sampah kosong dimasukkan ke kepala untuk jadi naga. Anak perempuan saya pula makan penyapu robot buat macam lolipop,” katanya menerusi hantaran Instagram.
Khuatir dengan kebersihan dan trauma untuk ke hospital, Yana mengakui terus naik angin sebaik melihat insiden tersebut.
“Masa ini saya dah mula jerit kepada anak dan beri amaran sebab kotor. Pukul 12 atau 1 pagi saya mengamuk macam orang kena rasuk.
“Saya jerit sekuat hati marah dekat anak sampai menangis-nangis. Sampai rumah pun saya nangis. Suami tidak pujuk sebab dia cakap saya stres pasal kerja dan pekerja,” ujarnya lagi.
Selepas insiden terbabit, pelakon filem Adnan Sempit itu mendapatkan rawatan di klinik dan seterusnya dia harus dipantau dalam wad hospital kerana risau keadaannya lebih teruk.
“Doktor cucuk vitamin dan magnesium dos rendah untuk bantu saya turunkan tahap hipertensi dan tanya apa yang berlaku.
“Maka, doktor beri amaran agar lebih banyak berehat kerana keadaan saya akan lebih bahaya sehingga boleh terkena strok atau sawan dan menyebabkan kematian saya dan bayi dalam kandungan.
“Doktor juga minta saya tidak lakukan sebarang pekerjaan buat masa sekarang dan bagi surat rujuk untuk masuk ke hospital,” jelas ibu kepada dua cahaya mata itu.
Yana berkahwin dengan Fadzil pada 13 Februari 2015 dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Aisy Mateen, 8, serta Aura Aisy Sofea, 4. – KOSMO! ONLINE