fbpx

Gangguan bekalan air: Sekolah di Pulau Pinang jalani sesi PdPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Sajiri.

GEORGE TOWN – Semua sekolah di Pulau Pinang kecuali pelajar tingkatan lima dan Kolej Pra-Universiti akan menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula 10 Januari ini.

Timbalan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan berkata, dua kumpulan tersebut akan menjalani pembelajaran seperti biasa di sekolah berikutan peperiksaan tidak lama lagi.

“Kita mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melaksanakan PdPR dalam tempoh tersebut. Surat makluman berhubung pembelajaran menerusi PdPR akan diedarkan kepada pihak sekolah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kosmo! Difahamkan, tempoh PdPR bergantung kepada pihak sekolah termasuk ada yang memilih melaksanakan sesi persekolahan bersemuka secara penggiliran bermula 10 hingga 12 Januari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, pihaknya telah melakukan persiapan menghadapi gangguan bekalan air termasuk mendapatkan bantuan bekalan dari beberapa negeri.

Menurutnya, perbincangan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berlangsung dan agensi itu bersetuju untuk membantu mendapatkan bekalan air dari negeri lain.

“Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang memuktamadkan lokasi untuk menempatkan tangki air. Fokus kita kepada kawasan kritikal seperti Balik Pulau, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Sungai Ara.

“Tangki berkapasiti 25,000 liter akan ditempatkan secara statik, manakala tangki kecil akan digerakkan ke kawasan berlainan mengikut keperluan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, pembekalan air semula kepada pengguna akan dilakukan sejurus kerja penggantian dua injap berdiameter 1200 milimeter (mm) pada saluran paip air terawat utama Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua selesai.

Kosmo! sebelum ini melaporkan kira-kira 590,000 akaun pengguna PBAPP bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula 10 Januari ini susulan kerja pembaikan paip segera di LRA Sungai Dua.

Susulan itu, Kerajaan Pulau Pinang dengan kerjasama PBAPP menyediakan beberapa unit tangki air jumbo di setiap daerah, sebagai persiapan menghadapi gangguan bekalan air tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI