KOTA BHARU – Hasrat sepasang sepasang suami isteri warga Myanmar untuk pulang semula ke tanah airnya selepas memasuki negara ini tanpa dokumen sah tidak tidak kesampaian selepas mereka dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan hari ini.
Lelaki dan isterinya yang hamil lima bulan itu merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan JIM menerusi Op Kutip di sekitar pusat bandar ini.
Lelaki yang mahu dikenali sebagai Soe, 28 berkata, dia bersama isterinya So, 30 baru tiba di Kota Bharu sekitar pukul 7 pagi tadi dan terus ditahan oleh penguatkuasa JIM dalam operasi besar-besaran untuk memeriksa warga asing itu.
Menurutnya, dia bersama isteri yang sedang mengandung anak sulung ke negeri ini menaiki bas dari Ipoh dan berhasrat mahu mengambil teksi ke Rantau Panjang untuk pulang dan menetap di kampungnya di Arkan, Myanmar.
“Kami memang tidak mempunyai sebarang dokumen malah tiada wang kerana gaji terakhir berjumlah RM1,200 dirampas pihak berkuasa dalam satu serbuan di restoran tempat saya bekerja di Ipoh, Perak semalam.
“Selepas serbuan itu, saya ambil keputusan untuk bawa isteri pulang ke tempat asal kami, tetapi malangnya ditahan buat kali kedua hari ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa Ops Kutip di sini hari ini.
Soe memberitahu, dia datang ke Malaysia tiga tahun lalu untuk bekerja di Ipoh melalui ejen yang dibayar sebanyak RM6,000, tetapi sehingga kini tidak mempunyai sebarang simpanan kerana sebahagian besar wang gaji dihantar ke kampung.
Sementara itu, seorang peniaga yang enggan dikenali berkata, suaminya turut ditahan oleh pihak berkuasa ketika sedang membantunya di gerai jualan semasa serbuan di Pasar Pokok Pinang, di sini, hari ini.
Wanita berusia 32 tahun itu berkata, suaminya yang berusia 42 tahun merupakan warga Bangladesh dan mereka sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga dengan dikurniakan seorang cahaya mata berusia dua tahun.
“Suami sudah 13 tahun tinggal di Kelantan dan sebelum ini bekerja dalam sektor pembinaan dengan sebuah syarikat sub kontraktor. Dia tinggal di sini menggunakan visa pelancongan dan sekarang menolong saya berniaga di pasar.
“Dia memang sedang merancang untuk buka perniagaan menggunakan nama saya dan sudah mendapatkan lesen perniagaan serta semua yang diperlukan. Cuma belum sempat menjalankan perniagaan tersebut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE