SERI ISKANDAR – Produk berasaskan ikan yang diusahakan pasangan suami isteri di sini, Sambal Talang Tok Baqq menjadi antara testimoni kejayaan usahawan yang dibantu oleh Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).
Menurut Pemilik Qutie Saujana Ent., Suryawati Salleh, syarikatnya itu mula memasarkan sambal menggunakan resepi turun-temurun keluarganya sejak 2022, namun berjaya melangkah jauh menerusi geran STeP yang diterima tahun lalu.
Katanya, menerusi Geran Usahawan Perak (GeRAK) bernilai RM10,000, Sambal Talang Tok Baqq menjalani transformasi dalam tiga aspek iaitu pembungkusan, pengesahan nutrisi dan pendaftaran produk serta perkara berkaitan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
“Siapa sangka sambal ini yang dahulunya hanya boleh didapati di restoran keluarga kami kini berjaya dijual kepada masyarakat umum.
“GeRAK benar-benar membantu dalam melonjakkan jualan sekali gus membantu kami mengembangkan syarikat sehinggalah ke tahap hari ini dan kami perlu berterima kasih dengan Pengarah STeP, Rozlan Mohamad Razali kerana banyak memberi nasihat serta tunjuk ajar,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mengulas lanjut, Suryawati berkata, sambal tersebut juga popular dalam kalangan jemaah umrah serta haji kerana mudah untuk dibawa ke mana-mana ekoran saiznya yang kecil.
Katanya, terdapat enam variasi Sambal Talang Tok Baqq, dengan harga jualannya bermula RM15 bagi produk seberat 220 gram (g) berkenaan, manakala RM23 (500g).
Beliau berkata, sambal yang dinamakan sempena nama ibunya, Allahyarham Rahmah Shafiee, 55, telah menembusi pasar raya tempatan iaitu 33 cawangan pasar raya Ekono Jaya di Perak Utara, Pulau Pinag dan Kedah bahkan turut dijual di stesen minyak Petronas di Pendang.
Sementara itu, Pengurus Qutie Saujana Ent., Ku Nazri Wahab berkata, produk itu juga dibantu oleh ejen syarikat berkenaan yang banyak membantu melariskan jualan.
Bahkan, katanya, kekerapan ejen memohon untuk dibekalkan semula Sambal Ikan Talang Tok Baqq juga semakin meningkat saban hari ekoran permintaan tinggi daripada para peminat makanan tradisional berkenaan.
“Dalam sebulan, kami memasak sebanyak 16 kawah sambal ikan talang ini. Secara purata, kira-kira 1,920 botol produk berkenaan dikeluarkan oleh syarikat dan ia dibekalkan kepada ejen serta cawangan-cawangan pasar raya berkenaan.
“Kami juga berjaya memasarkan produk ini ke pasaran negara luar seperti Singapura apabila produk ini diperkenalkan kepada pengguna negara jiran itu ketika Ekspo Malaysia Fest 2023 di Singapura tahun lalu,” katanya.
Program 1 Daerah 1 Aktiviti Ekonomi yang terletak di salah satu program flagship kelima Perak Sejahtera 2023 dilaksanakan untuk pembangunan ekonomi berdasarkan komuniti setempat, dengan STeP merupakan antara peneraju bagi tujuan tersebut.