fbpx

Ritma sirkadian bukti keajaiban susu ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GOLONGAN ibu yang berkerjaya digalakkan mengepam susu ketika di tempat kerja. – Gambar hiasan

SEMEMANGNYA, ibu-ibu berkerjaya mempunyai kekangan untuk menyusukan bayi secara langsung dan mereka terpaksa memerah susu ketika di tempat kerja.

Susu ini selalunya akan disejuk beku dan diberikan kepada bayi saat diperlukan.

Ekoran itu, timbul situasi di mana ada kemungkinan susu yang diperah pada waktu siang akan diberikan kepada bayi pada sebelah petang atau malam.

Tahukah anda, sama seperti tubuh manusia, susu ibu juga mempamerkan sifat ritma sirkadian atau jam biologi?

Ritma sirkadian adalah jam biologi atau satu aturan masa dalam tubuh manusia yang berjalan mengikut rutin kitaran siang dan malam selama 24 jam.

Pengaturan secara dalaman ini melibatkan pelbagai peringkat biologi termasuk molekular, selular, sistem dan tingkah laku manusia.

Penetapan ritma sirkadian ini penting untuk fungsi optimum tubuh manusia.

Perkembangan bayi dari segala aspek adalah amat unik dan ia tertakluk kepada ritma sirkadian dalam keseluruhan peringkat tumbesarannya.

Susu ibu boleh dianggap sebagai eliksir ajaib kerana kajian saintifik bukan sahaja menunjukkan ia berbeza pada setiap ibu.

Komposisinya juga berubah-ubah mengikut peringkat laktasi dan waktu pemberian susu.

Sifat dinamik luar biasa susu ibu ini menyebabkan ia boleh diadaptasi dengan sempurna oleh bayi mengikut kitaran 24 jam sehari.

Oleh itu, semua nutrien dan komponen di dalam susu ibu seperti karbohidrat, lemak, protein, vitamin, hormon dan bahan biologi aktif yang diperlukan oleh bayi adalah dalam kadar bersesuaian pada setiap masa.

Lebih menarik lagi, sekiranya bayi disusukan secara langsung, air liur bayi akan menghantar isyarat kimia kepada ibu, sekali gus menyebabkan komposisi susu ibu berubah untuk memenuhi keperluan bayi secara tepat dan seimbang.

Beberapa hormon di dalam susu ibu telah dikaji dan diketahui mempunyai ritma sirkadian yang sangat signifikan.

susu ibu mampu membantu bayi berkembang dengan sihat dan sempurna. – Gambar hiasan

Contohnya, hormon kortisol dan melatonin.

Antara fungsi hormon kortisol adalah untuk mempengaruhi peningkatan kadar gula di dalam darah.

Oleh yang demikian, badan akan menjadi lebih cergas kerana mendapat tenaga daripada mekanisme ini.

Jika bayi mendapat kandungan melatonin yang sama sahaja sepanjang hari, bolehkah kita bayangkan bayi akan sentiasa cergas pada setiap masa, tanpa mempunyai waktu tidur secukupnya?

Kita sedia maklum yang tumbesaran manusia berlaku secara majoritinya semasa tidur dan ini tentunya akan memberi kesan negatif terhadap bayi.

Oleh itu, susu ibu mempunyai kadar hormon kortisol yang tinggi pada waktu pagi dan tiga kali lebih rendah pada petang serta malam.

Berbeza dengan kortisol, hormon melatonin berfungsi untuk menggalakkan proses tidur dan penghadaman melalui sistem komunikasi antara otak serta usus.

Hormon ini hadir dalam nilai amat rendah, hampir tidak dapat dikesan di dalam susu ibu yang dihasilkan pada waktu siang.

Sebaliknya, kadar melatonin adalah amat tinggi dalam susu yang dihasilkan pada waktu malam, di mana puncaknya adalah pada tengah malam.

Ini dapat membantu bayi untuk tidur dengan lebih nyenyak dan selesa.

Susu ibu pada waktu malam juga mengandungi jumlah nukleotida lebih tinggi, di mana komponen DNA ini terlibat di dalam pelbagai fungsi selular dan metabolisme bayi amat penting untuk perkembangan serta tumbesaran bayi.

Selain hormon, beberapa komponen makronutrien dan mikronutrien dalam susu ibu turut mempunyai ritma sirkadian.

Unsur-unsur mineral seperti magnesium, zink, potassium dan sodium mempamerkan kadar tertinggi pada waktu pagi.

Zat besi pula mempunyai kadar tertinggi pada tengah hari dan vitamin E meningkat ke kadar tertinggi pada sebelah malam.

Susu pada waktu siang juga mempunyai lebih banyak komponen peningkatan imuniti dan asid amino yang menggalakkan aktiviti.

Ini kerana, secara dasarnya, bayi lebih aktif dan kerap terdedah kepada persekitaran luar pada siang. Maka, ia memerlukan perlindungan yang lebih lagi berbanding waktu malam.

Ritma sirkadian dalam susu ibu adalah bukti keajaiban alam oleh Sang Pencipta dan ia dapat memenuhi semua keperluan bayi dengan tepat.

Ia bagi memastikan bayi mempunyai perkembangan yang sihat dan sempurna.

Justeru itu, para ibu boleh memberikan susu kepada bayi walaupun mempunyai kekangan untuk penyusuan secara langsung.

Dengan mengambil kira sifat ritma sirkadian susu ibu ini, berilah susu perahan mengikut masa bersesuaian pada bayi anda.

Cuba elakkan pencampuran susu yang diperah pada waktu siang dengan susu diperah pada waktu malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI