BEIJING – Seorang pemandu teksi di China berusaha mencari seorang penumpang wanita yang tersilap membayar tambang sebanyak 170,000 yuan (RM111,250), lapor portal berita South China Morning Post.
Selepas mencari selama lima hari, pemandu teksi bernama Du Liming itu akhirnya menemui penumpang wanita tersebut dikenali sebagai Chen.
Kejadian berlaku ketika Liming menghantar Chen pulang ke rumah sekitar pukul 3 pagi (waktu tempatan) pada 14 Disember 2023.
Chen kemudian membawar tambang sebanyak 60 yuan (RM39) menggunakan kod QR. Selepas tamat syif, Liming terkejut apabila melihat wang sebanyak 170,000 yuan dalam akaun Alipay miliknya.
Selepas menyemak semula, Liming pergi ke balai polis berhampiran, menelefon syarikatnya dan turut menghubungi Alipay serta meninggalkan mesej untuk Chen.
Pada hari-hari berikutnya, Liming mencuba pelbagai cara untuk mencari Chen. Dia meminta bantuan media tempatan untuk mencari penumpang tersebut.
Seorang rakan yang membantu Chen masuk ke dalam teksi Liming melihat berita itu. Mereka bertemu keesokan harinya dan Liming dapat memulangkan semula wang Chen. – AGENSI