PETALING JAYA – Penganalisis industri, Nazri Hamdan dijemput sebagai tetamu pertama dalam podcast Yang Bakar Menteri (YBM) bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang bakal disiarkan secara langsung di YouTube, Ahad ini.
Rafizi berkata, podcast YBM itu bertujuan untuk merancakkan ruang diskusi rakyat mengenai isu ekonomi dan negara.
“Saudara Nazri banyak mengupas isu-isu ekonomi semasa dan juga dasar dan program terbaru ekonomi negara. Ada yang beliau setuju, ada yang beliau hentam, tapi saya hargai fungsi beliau memberi pencerahan ekonomi kepada rakyat.
“Kali ini Nazri (dijemput) untuk ‘bakar’ saya dalam isu-isu ekonomi dan negara,” katanya dalam satu hantaran di media sosial X, sebentar tadi.
Sehubungan itu, Rafizi berkata, siaran podcast tersebut membolehkan pimpinan kerajaan mendengar perspektif rakyat yang mungkin terlepas pandang.
“Orang ramai juga boleh mendengar perspektif kerajaan kenapa sesuatu diaturkan sedemikian rupa.
“Lebih banyak dibincangkan, lebih banyak perspektif dapat dibawa. Yang penting rakyat perlu membuat penilaian dan keputusan berasaskan ilmu dan fakta yang betul,” ujarnya.
Tambah Rafizi, podcast YBM akan disiarkan setiap dua minggu sekali bersama tetamu yang mewakili semua lapisan masyarakat.
“Kami akan terus mencari geng pertikaian yang terpaling ekonomi dalam kalangan PN, walaupun setakat ini semua yang dijemput tidak berani dan banyak berdalih,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE