PARIS – Penyerang sensasi Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe mengakui masih belum memikirkan tentang masa depannya selepas membantu pasukannya menewaskan Toulouse 2-0 pada aksi Trofi Kejuaraan Perancis awal pagi semalam.
Sebagai rekod, kontrak Mbappe bakal berakhir pada penghujung musim ini dan pemain berusia 26 tahun itu dibenarkan untuk berbincang dengan mana-mana pasukan yang bersedia menawarkan prakontrak rasmi pada bulan ini.
Menurut Mbappe, tiada sebarang keputusan yang dibuat sama ada mahu kekal bersama PSG atau berhijrah pada musim depan kerana mahu menikmati masa dan ruang bersama pasukan ketika ini.
“Saya sangat bermotivasi pada tahun ini dan cukup gembira selepas membantu pasukan menjuarai trofi penting. Kini, saya tekad untuk memastikan kami kekal mencabar semua kejuaraan pada musim ini.
“Mengenai kontrak, saya masih belum ada keputusan atau pilihan yang pasti. Namun, saya telah berbincang dengan presiden kelab bahawa saya akan fokus kepada komitmen pasukan dahulu sebelum memikirkan tentang masa depan.
“Mungkin apa yang berlaku pada 2022 (kekal di PSG) akan berulang kerana saya hanya mahu memastikan yang terbaik dalam karier tetapi segalanya hanya dapat diputuskan pada penghujung musim atau Mei nanti,” katanya.
Pada perlawanan di Stadium Parc de Princes itu, skuad PSG kendalian Luis Enrique tidak mempunyai masalah untuk meraih kemenangan hasil ledakan Mbappe dan tonggak antarabangsa Korea Selatan, Lee Kang-in. – AGENSI