fbpx

Mahu gaji RM7,000 seminggu, akhirnya jadi tebusan RM232,225

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Daniel (kiri) bersama keluarga mangsa penipuan pekerjaan yang dijadikan tebusan pada sidang akhbar di Petaling Jaya, hari ini.

PETALING JAYA – Seorang lelaki tempatan berdepan detik cemas apabila tawaran bekerja di Myanmar bertukar menjadi tebusan mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

Tawaran pekerjaan yang menjanjikan RM7,000 seminggu sebelum ini bertukar kepada menjadi mangsa tebusan berjumlah AS$50,000 (RM232,225).

Adik mangsa yang enggan dikenali berkata, sindiket turut mengugut jika tidak mampu membayar tebusan, mangsa sendiri perlu mencari serta menjerat dua lagi individu sepertinya sebelum dibebaskan.

Menceritakan bagaimana kejadian berlaku, dia memaklumkan abangnya terjumpa satu iklan di Facebook menawarkan pendapatan lumayan untuk kerja selama satu minggu di negara jiran, pertengahan Disember lalu.

Tertarik dengan tawaran itu, lelaki berusia 34 tahun berkenaan menghubungi ejen yang menawarkan pekerjaan pada iklan itu tanpa menyedari ia sebenarnya didalangi sindiket penipuan kerja.

“Abang saya nampak iklan di Facebook dan tanya (ejen) lalu mereka terus beri tiket penerbangan ke Bangkok, Thailand.

“Sampai di sana dia dibawa seorang pemandu ke sempadan Thailand menaiki kereta ketika itu abang tidak tahu sudah ditipu.

“Masuk hari kedua dia dibawa ke sebatang sungai dan diarahkan untuk ke seberang barulah dia sedar sudah ditipu sindiket,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurutnya, selepas beberapa jam tiba di premis milik sindiket barulah telefon bimbit miliknya diserahkan semula dan mangsa terus menghubungi keluarga di Malaysia untuk meminta bantuan.

Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), Daniel Khoo berkata, taktik yang digunakan sindiket terbabit untuk memancing mangsa sudah sering kali digunakan namun masih ramai terpedaya.

“Kita MHO sedang berusaha untuk membawa pulang mangsa dan kita sedang bincang dengan kerajaan Malaysia dan Thailand untuk selamatkan mangsa.

“Kita sekarang sedang kerjasama dengan kerajaan China juga untuk selamatkan mangsa-mangsa sindiket di kawasan Myawaddy, Myanmar,” katanya.

Daniel turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tawaran kerja yang menjanjikan pulangan lumayan untuk kerja yang mudah atau singkat terutama di luar negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI