SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan memanggil penganjur yang mengadakan ‘zikir menari’ di salah sebuah daerah di negeri ini seperti tular di media sosial baru-baru ini.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, penganjur tersebut akan dipanggil Isnin ini bagi mendapat penjelasan berhubung aktiviti tersebut seterusnya menyiasat sama ada pelaksanaannya mempunyai elemen atau amalan yang bertentangan dengan syarak.
“Isnin ni kita panggil penganjur untuk penjelasan,” katanya ketika dihubungi Kosmo hari ini.
Terdahulu tular video di laman sosial berdurasi 23 dan 33 saat memaparkan aksi sekumpulan orang ramai yang berzikir dan berselawat seperti menari ala-ala boria.
Mohd. Shahzihan menegaskan, pihaknya memandang serius berhubung perkara itu khususnya jika ia boleh menimbulkan fitnah kepada agama.
“Kadang-kadang dari segi isi tidak ada masalah, tetapi kadang-kadang pembawaan dan cara itu boleh menjadi fitnah. Contohnya berzikir di kubur sambil bergoyang-goyang dengan sebab dan riwayat yang tidak dapat dipastikan menyebabkan fitnah kepada agama,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai agar mendapatkan rujukan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa agama berkaitan hal ehwal Islam di Selangor. – KOSMO! ONLINE