PETALING JAYA – Gara-gara tidak mendaftarkan perkahwinan secara sah di negara ini, seorang wanita terpaksa menanggung derita anaknya tidak sah taraf dan terlepas harta pusaka arwah suami.
Lebih malang lagi, wanita tersebut juga gagal mendapatkan sebarang harta pusaka suami meskipun perkahwinan mereka di sempadan Thailand itu sah.
Itu nasib menyayat hati yang dikongsi seorang wanita kepada Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli selepas kematian suami akibat sakit jantung.
Berkongsi kisah itu, Fahmi berkata sebelum ini pasangan terbabit lebih tiga tahun merahsiakan pernikahan mereka, namun selepas mendapat cahaya mata wanita itu menggesa suaminya untuk mendaftar perkahwinan mereka.
“Sijil lahir anak tidak ada maklumat bapa. Anaknya dikatakan anak tak sah taraf sedangkan mereka berkahwin dan suaminya sering mengelak serta beri macam-macam alasan.
“Termasuklah, mengugut untuk tinggalkan dia jika terus desak kononnya ini demi masa depan kariernya. Wanita ini akur, janji suaminya adalah sehingga dua hingga tiga tahun lagi baru nak disahkan,”katanya.
Bagaimanapun Fahmi berkata, suami wanita itu tiba-tiba meninggal dunia kerana sakit jantung dan wanita itu bimbang bagaimana nasibnya dan anak kerana tiada sijil nikah yang sah dan tidak dapat nasabkan anaknya.
“Dia cuba mencari semula sijil nikah Siam yang suaminya simpan. Tak tahu dimana, tak pernah diberitahu suaminya.
“Dia cuba berjumpa dengan isteri pertama suaminya untuk terangkan, macam biasa, tidak ada yang percaya hal ini. Orang hanya anggap dia cuba nak ambil harta dan kesempatan atas orang yang sudah meninggal,” ujarnya.
Fahmi memberitahu wanita itu, sekiranya mahu dapatkan bahagian pusakanya, dia perlu mohon ditukarkan nasab anak itu kepada arwah suami dan membuat pengesahan nikah poligami di Mahkamah Tinggi Syariah.
“Meleleh air matanya. Dia tahu, bukan mudah. Semua bukti itu sebelum ini disimpan suaminya dan tak tahu dimana.
“Wanita ini akui, dia menyesal. Dia doakan kepada wanita-wanita lain agar tidak jadi perkara sebegini seperti yang berlaku kepada dirinya dan buat keputusan yang baik.
“Bagi lelaki, jika betul anda nak poligami, anda mampu, anda layak, buatlah secara baik. Dapatkan kebenaran Mahkamah. Jangan bawak lari anak dara orang nikah di Siam,” nasihatnya. – KOSMO! ONLINE