SEREMBAN – Seramai 80 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan selepas Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Sembilan mengempur 19 premis menempatkan warga asing di sekitar Seremban, Nilai dan Port Dickson.
Dalam operasi tiga hari bermula 2 Januari itu, 17 pegawai dan anggota Imigresen memeriksa 161 individu membabitkan antaranya warga Bangladesh, Indonesia dan Thailand.
Pengarahnya, Kennith Tan Ai Kiang berkata, kesemua yang ditahan membabitkan 15 lelaki warga Bangladesh dan 31 lelaki serta 19 perempuan warga Indonesia.
Menurutnya, seorang perempuan warga Sri Lanka, dua lelaki dewasa warga India, sembilan lelaki dan seorang perempuan dewasa warga Myanmar serta dua lelaki warga Thailand turut ditahan.
“Mereka ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan – Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Kennith, kesemuanya PATI telah dihantar ke Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE