KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara, A. Arul Selvaraj menegaskan pihaknya akan membawa skuad yang terbaik dan tanpa pemain yang dibelenggu kecederaan menjelang kelayakan Olimpik Paris 2024 yang bermula pada 15 hingga 21 Januari ini di Muscat, Oman.
Arul memberi bayangan bahawa 18 pemain yang terpilih menyarung jersi negara adalah gabungan pemain senior dan remaja yang benar-benar bersedia berjuang untuk memburu slot kelayakan terakhir Paris 2024 di Oman nanti.
Tegas Arul, semangat para pemainnya benar-benar tinggi sejurus kekalahan mereka di Sukan Asia Hangzhou, China tahun lalu.
“Sudah pasti kekecewaan itu (Sukan Asia) pasti ada, tetapi para pemain kena bangkit. Selepas berakhir temasya Sukan Asia kita banyak habiskan masa tentang mengurang kesilapan dan juga kesilapan individu.
“Mungkin sewaktu di Sukan Asia kita terlalu meletakkan keyakinan terlalu tinggi dan saya percaya pemain telah belajar sesuatu. Jadi, kegagalan lalu harus ditebus menjelang aksi kelayakan di Oman nanti.
“Apapun semangat pemain ketika ini semua dalam keadaan baik terutama selepas kita pulang dari New Zealand dan pemain juga bebas kecederaan. Sebelum ini, kita kehilangan kira-kira lapan pemain dan kini semua sudah pulih sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Dalam pada itu, Arul turut menegaskan senarai pemilihan 18 pemain yang akan dibawanya ke Oman akan diputuskan pada hari ini menerusi sidang media bersama Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Najmi Razak dan juga Pengurus Pasukan Kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi dan Arul.