PETALING JAYA – Ada sesetengah ibu bapa dan penjaga mengambil remeh isu yuran pengajian anak mereka di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sehingga menjejaskan pengurusan premis itu.
Mendedahkan perkara itu, seorang individu dikenali sebagai Mukminin Taslam berkata, sebuah Pasti di kawasannya terpaksa menanggung hutang sebanyak RM15,000 gara-gara ada ibu bapa yang tidak melunaskan bayaran yuran.
“Pasti tempat saya, ibu bapa tak bayar yuran. Tunggakan sampai RM15k (RM15,000). Saya sebagai bapa anak Pasti kesian pada mualim dan mualimah,” tulisnya.
Pendedahan individu itu dibuat menerusi satu hantaran di laman Facebook cikgu Mohd. Fadli Salleh semalam.
Sementara itu, Mohd. Fadli mengakui rata-rata Pasti mempunyai masalah tunggakan dan pendedahan sebelum ini menunjukkan ibu bapa yang tidak menjelaskan yuran itu bukan dari golongan miskin, tapi agak berada.
“Kemain hantar anak ke sekolah naik Honda, rupanya yuran anak-anak tak bayar. ‘Naya’ kat pengurusan nak bayar sewa, utiliti dan elaun guru-guru semua.
“Kalau kat tadika swasta, sebulan tak bayar pun dah kecoh pihak tadika minta. Bahkan anak disekat dah ke tadika selagi yuran tertunggak belum dilangsaikan. Silap-silap sampai surat saman terus.
“Ni mentang-mentang pengurusan Pasti berlembut, ada yang ambil kesempatan pula,” katanya.
Justeru Mohd. Fadli menyeru agar mereka yang menghantar anak ke Pasti menjelaskan hutang tersebut supaya ilmu yang diajar kepada anak mereka berkat.
“Kawan-kawan. Hantar anak ke Pasti agar mereka dapat asas agama kuat sejak kecil. Tapi bila tak bayar hutang ni, berkat ke ilmu anak kita? Fikir-fikirkan dan bayarlah tunggakan yuran,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE