fbpx

Anwar minta KPT beri lebih ruang kepada pimpinan universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar berucap di Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi! di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diminta memberi lebih banyak ruang kepada pimpinan universiti melaksanakan program-program untuk mempertingkatkan mutu pendidikan sekali gus melahirkan graduan yang cemerlang dan berkeupayaan tinggi.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, KPT pula hanya bertindak untuk menyelaraskan sebarang pertindihan atau permasalahan yang timbul berhubung usaha tersebut.

“Saya telah sarankan kepada Zambry (Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir) beri ruang kepada pimpinan universiti. Beri lebih banyak ruang kepada universiti.

“Mencabar mereka dalam dua tahun melihat program-program yang lebih baik. Kalau tidak, kita ubah pimpinan (universiti),” katanya pada Majlis Perasmian Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Program itu bertujuan menyediakan wahana kepada semua pihak berkepentingan dalam landskap pendidikan tinggi khususnya golongan akademia, pengurusan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam dan Swasta serta pihak industri.

Sesi wacana selama dua hari bermula hari ini tersebut disifatkan amat kritikal bagi memeta hala tuju pendidikan tinggi negara supaya sejajar dengan aspirasi nasional di bawah Kerangka Ekonomi Madani.

Sesi berkenaan juga memberi peluang kepada semua pemegang taruh dalam sektor pendidikan tinggi untuk berkongsi pandangan dan pengalaman masing-masing dengan pucuk pimpinan negara.

Sementara itu, mengulas berhubung peruntukan kewangan kerajaan untuk universiti, Anwar menjelaskan, beliau sebagai Menteri Kewangan menyedari keadaan keadaan kewangan dan kekangan yang dialami kerajaan ketika ini.

Menurut Perdana Menteri, hutang negara termasuk liabiliti telah mencecah RM1.5 trilion dan beliau terpaksa mengurangkan defisit pada tahun 2022 sebanyak 5.6 peratus kepada 5 peratus untuk memastikan pelaburan dan kedudukan ekonomi Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, disebalik kekangan berkenaan, bidang pendidikan menyaksikan peningkatan tertinggi dalam Belanjawan 2024 diikuti oleh bidang kesihatan dan pertahanan.

“Saya hendak pastikan kebocoran (ditangani) dan pendapatan meningkat dan setakat ini hasil memang meningkat sebab kita baiki tatakelola dan elak kebocoran dengan baik,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri menekankan tentang kepentingan penguasaan Bahasa Melayu di universiti tanpa mengenepikan keperluan menguasai Bahasa Inggeris yang perlu dimulakan serta-merta.

“Penguasaan Bahasa Melayu di Universiti mesti baik. Kita beri kelonggaran tapi sekurang-kurangnya pendidikan asas tentang bahasa (Melayu) harus dikuasai, sejarah negara harus diketahui.

“Itu asas dan kemudian terokailah bidang dan disiplin baharu yang dikehendaki. Kita tidak akan ganggu. Saya fikir hal ini dimulakan sekarang juga. Bila saya sebut sekarang…minggu depan.

“Kita lihat Indonesia kekal dengan kekuatan Bahasa Indonesia. Thailand dengan bahasa Thailand, tetapi anak-anak muda di universiti tempatan mereka menguasai Bahasa Inggeris dengan begitu baik,” katanya.

Anwar namun mengingatkan bahawa penegasan beliau berhubung penguasaan Bahasa Melayu di universiti tempatan itu tidak boleh disifatkan sebagai ekstrem atau dilihat kerana desakan politik.

“Penguasaan Bahasa Melayu ada yang fobia. Ada juga golongan elit yang fobia. Saya sebut (sebelum ini) kalau kamu syarikat tempatan, rakyat Malaysia, (jika mahu) tulis surat kepada saya dalam Bahasa Melayu.

“Itu pun ada fobia. Sudah ada (dakwaan) unsur ekstrem dan ada yang kata ini nak jawab tuntutan golongan Islam dan Melayu pembangkang. Tak betul. Saya tidak pernah kompromi soal penguasaan Bahasa Melayu.

“Ini bukan “zero sum game”. Dalam pendidikan tinggi kebanyakan universiti dunia menekankan penguasaan lebih daripada satu bahasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI