fbpx

Tiga motosikal masuk parit: JKR tambah lampu, pelan trafik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMEED ketika ditemui pemberita selepas memeriksa tahap keselamatan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di lokasi nahas di Bukit Katil, Melaka. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!

MELAKA – Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri akan meningkatkan tahap keselamatan di lokasi kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan susulan nahas tiga motosikal terjatuh ke dalam parit sehingga meragut nyawa seorang pemuda di Jalan Bukit Katil, di sini, awal pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, meskipun pihak kontraktor terlibat telah mematuhi semua aspek keselamatan, namun langkah pencegahan akan tetap diambil oleh JKR negeri.

Katanya, antara kaedah yang akan dilaksanakan adalah meningkatkan sistem pencahayaan jalan, menambah baik pelan pengurusan trafik dan memastikan tiada gangguan melibatkan kon atau penghadang jalan diletakkan.

“Siasatan awal JKR dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendapati pihak kontraktor terbabit mematuhi prosedur keselamatan ditetapkan.

“Susulan nahas ini, JKR akan mengambil langkah pencegahan yang lebih proaktif dengan meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya termasuk pencahayaan jalan, aspek pelan trafik dan tiada gangguan kon,” ujarnya pada sidang akhbar di Jalan Bukit Katil, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, pihaknya juga sedang menunggu laporan penuh siasatan nahas oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri.

“JKKP juga akan buat laporan, jadi pihak kami bersedia untuk memberikan sebarang maklumat diperlukan oleh JSPT negeri.

“Kita akan bersama-sama membantu untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya supaya tragedi ini tidak berulang lagi,” ujarnya.

Kosmo! hari ini melaporkan tiga penunggang motosikal terjatuh ke dalam parit selepas melalui laluan yang telah ditutup bagi kerja-kerja pembaikan jalan di Jalan Bukit Katil dalam nahas kira-kira pukul 6.30 pagi tadi.

Seorang penunggang, Haiqal Iman Mohd. Shahruddin Abdul Qayyum, 20, yang bekerja di sebuah kedai serbaneka turut maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Dua lagi mangsa, Chong Min Yang, 57, dan Mohd. Zaim Bahrin, 31, terselamat namun masing-masing mengalami luka di kaki serta cedera di kepala dan patah kaki. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI