PETALING JAYA – Pemilik Perodua Bezza, Nagakanni Subramaniam mendakwa terdapat beberapa kesalahan fakta di dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) berhubung isu kereta miliknya yang rosak selepas lapan jam diambil dari pusat jualan.
Nagakanni dalam satu hantaran di Facebooknya berkata, tiada jaminan secara hitam putih yang mengatakan keretanya pertamanya akan dibeli semula dan dia tidak perlu membayar pinjaman pertama berkenaan.
“Saya dimaklumkan Perodua sudah jawab, tapi saya nak betulkan sedikit fakta. Solusi Perodua adalah untuk saya beli kereta kedua dengan cara mengemukakan pinjaman kereta kedua.
“Ada jaminan secara hitam putih tak yang kata kereta pertama saya akan dibeli semula dan saya tak perlu bayar pinjaman pertama? Tiada. Sudah lebih dua bulan masih belum ada apa-apa maklumat secara terperinci mengenai pembelian balik, tempoh pembelian balik, pembayaran pinjaman dan semua itu,” katanya hari ini.
Nagakanni berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan media yang dikeluarkan Perodua semalam yang memaklumkan bahawa syarikatnya telah menawarkan dua pilihan kepada Nagakanni.
Ketua Pegawai Operasinya, JH Rozman Jaafar berkata, beberapa langkah telah diambil termasuk menawarkan kereta sementara kepadanya untuk digunakan dan pilihan membeli semula unit berkenaan.
Nagakanni turut menuntut Perodua memudahkan urusannya kerana apa yang dikehendakinya ialah penyelesaian yang adil.
“Isunya mudah. Saya beli kereta dengan Perodua, enjin rosak kononnya sebab ada benda asing seperti gula, saya tak dapat penggantian kereta baru dan masih kena bayar kereta itu setiap bulan.
“Kalau betul Perodua kata nak beli kereta saya, silakan. Tapi mana hitam putih itu? Sehingga hari ini saya masih belum ada. Jangan buat kenyataan media hanya untuk redakan suasana tapi sebenarnya tak selesaikan pun masalah saya. Saya nak penyelesaian, bukan nak cari gaduh atau tular,” ujarnya.
Terdahulu, tuar di media sosial apabila Nagakanni meluahkan rasa kecewa apabila kenderaan yang baru dibeli hanya sempat digunakan selama lapan jam sebelum rosak dan dibiar tersadai di pusat servis. – KOSMO! ONLINE