GEORGE TOWN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas sebanyak 32 unit telefon pintar pelbagai model berjenama selepas dipercayai mengguna pakai cap dagang berdaftar secara salah dalam beberapa serbuan, semalam.
Turut dirampas dalam serbuan yang dijalankan di lima premis perniagaan di sekitar Bukit Jambul dan George Town itu adalah 57 unit aksesori telefon daripada jenama yang sama.
Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, pada masa yang sama, beberapa dokumen lain yang berkaitan turut disita dengan nilai rampasan dan sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 15,523.
Terdahulu katanya, operasi itu dijalankan dengan kerjasama wakil pengadu iaitu pemilik cap dagangan berdaftar jenama tersebut selepas risikan awal dilakukan beberapa hari sebelum itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019. Sabit kesalahan bagi pertubuhan perbadanan, denda tidak melebihi RM15,000 boleh dikenakan bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu untuk kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM30,000 boleh dikenakan,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE