Adakah Ashabul Kahfi beragama Kristian?
Jawapan: Para ulama berbeza pandangan mengenai agama Ashabul Kahfi (Ashab al-Kahfi) yang disebut dalam al-Quran. Pandangan pertama mengatakan bahawa mereka adalah beragama Yahudi kerana orang Yahudi pada zaman Nabi SAW bertanya kepada baginda mengenai Ashab al-Kahfi, tidak mungkin Yahudi bertanya kepada Nabi SAW jika Ashab al-Kahfi itu beragama Kristian. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Ibn Kathir:
“Telah disebutkan bahawa mereka mengikuti agama Nabi Isa yang merupakan anak kepada Maryam. Namun, secara zahirnya mereka sebelum agama Nasrani, kerana jika mereka ikuti agama Nasrani, para pendeta Yahudi tidak akan memberi perhatian untuk memelihara kisah mereka kerana permusuhan mereka dengan Nasrani.”
Sementara itu, menurut Syeikh Tahir Ibn Asyur berkemungkinan agama Yahudi dan Nasrani mengetahui tentang satu kaum yang dikenali Ashab al-Kahfi dan mereka saling mendakwa kaum itu adalah dari kalangan orang soleh agama mereka.
Bagaimanapun, menurut kebanyakan ulama, Ashab al-Kahfi adalah beragama Nasrani. Imam Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan perkataan mujahid dengan katanya: “Syariat mereka iaitu Ashab al-Kahfi adalah mengikut syariat Nabi Isa AS menurut sebilangan ulama salaf.”
Perkataan Kristian atau Christian berasal dari bahasa Greek iaitu daripada perkataan ‘christos’ atau ‘kristus’ yang bermaksud ‘the anointed one’ merujuk kepada maksud ‘yang diurapi’. Perkataan kristus pula ialah merujuk kepada Jesus oleh penganut agama Kristian. Rentetan itu, wujudnya perkataan atau istilah christ yang sama maksud dengan perkataan al-Masih dalam bahasa Hebrew yang mana ia merujuk maksud Rasul yang dipilih. Oleh demikian, istilah christian ini ialah merujuk kepada golongan atau penganut yang mengikut ajaran Jesus.
Selain itu, agama Kristian juga dikenali dengan agama Nasara merupakan agama samawi yang dibawa oleh Nabi Isa AS kepada Bani Israil supaya mengikut syariat serta mentauhidkan Allah SWT. Namun, setelah baginda Isa AS diangkat ke langit, agama Kristian telah diubah dan diseleweng daripada ajaran asalnya. St. Paul antara individu yang terlibat penyelewengan agama ini dan penggunaan istilah Christian dilakukan oleh pengikutnya setelah ketiadaan Nabi Isa AS selama berpuluh tahun.
Dalam kajian dibuat Abdul Halim Syihab dan M. Afif Afnan istilah ‘agama Kristian’ muncul selepas Nabi Isa diangkat ke langit kerana baginda tidak bertutur dalam bahasa Greek.
Bagaimanapun, penggunaan al-Masih yang memiliki makna sama dengan Kristian (christian) telah digunakan dalam al-Quran. Firman Allah SWT: “Tiadalah Al-Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul, dan ibunya seorang perempuan yang amat benar, mereka berdua adalah memakan makanan (seperti kamu juga).
Lihatlah bagaimana kami jelaskan kepada mereka (ahli kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas yang menunjukkan kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka dari menerima kebenaran yang jelas nyata itu).” Surah al-Maidah ayat 75.
Kesimpulannya, ulama berbeza pandangan mengenai agama dianuti pemuda Ashab al-Kahfi, namun menurut pandangan yang kuat mereka adalah mengikuti agama Nasrani. Penggunaan istilah agama Kristian hanya muncul setelah Nabi Isa diangkat ke langit, manakala perkataan christ memiliki maksud sama dengan perkataan al-masih dalam bahasa Hebrew yang bermaksud Rasul yang dipilih dan ia disebutkan dalam al-Quran. Oleh itu, mengatakan Ashab al-Kahfi adalah beragama Kristian tidak menjadi kesalahan.
Namun, harus dibezakan antara agama yang diubah dan ditokok tambah daripada ajaran tauhid yang sebenar dengan agama tauhid yang dibawa oleh Nabi Isa AS.
Dalam pegangan akidah Islam, semua agama yang datang sebelum Islam telah dimansukhkan dengan kedatangan Islam.