PETALING JAYA – Penyanyi Syada Amzah mendedahkan pernah mengalami kemurungan beberapa tahun lalu, sehingga memilih untuk berkurung dalam bilik selama berminggu-minggu kerana hilang semangat.
Syada atau nama penuhnya, Nursyuhada Amir Amzah berkata, disebabkan terlalu banyak berfikir dia turut mengalami mimpi aneh mengenai kematian seakan-akan memberi idea bagaimana cara mengakhiri hidup.
Menerusi hantaran yang dimuat naik Syada dalam Instagram miliknya, adik kepada penyanyi Shila Amzah itu sekadar berkongsi masalah yang pernah dilaluinya dan mahu membantu individu lain yang berdepan situasi serupa.
“Saya sebenarnya hairan apabila ada individu yang ‘mencabut nyawa sendiri’ dan menyakiti diri mereka.
Beberapa tahun lalu, saya diuji dengan kemurungan, kurung diri berminggu-minggu, tidak bermaya dan sentiasa rasa kurang bemotivasi. Banyak sangat berfikir, sampai terbawa-bawa dalam mimpi cara saya meninggal dunia.
“Mimpi itu berlarutan selama berbulan-bulan, seolah-olah memberi idea kepada saya cara mengakhiri hidup,” kongsinya.
Penyanyi berusia 26 itu bagaimanapuan berkata, dia tidak mendapatkan bantuan pakar kerana enggan terlalu bergantung dengan rawatan sebaliknya berusaha mengawal dan melawan sendiri masalah yang dialaminya.
Kata Syada, rajin bertanya khabar dan sudi mendengar luahan hati antara pendekatan terbaik bagi membantu mereka yang sedang berdepan masalah kemurungan.
“Saya bukan pakar tapi saya mahu berkongsi cara untuk kita sama-sama membantu mereka yang keadaan mentalnya tidak stabil.
“Mungkin kamu boleh rajin bertanya khabar. Kalau ada masa lebih, dengarlah luahan hatinya, apa yang mengganggu dia. Biar dia rasa lega.
“Sebab bila kita rasa tidak stabil, rasa sunyi dan takut itu perkara normal. Sangat penting untuk tidak membiarkan mereka menyendiri,” ujarnya.
Pada masa sama, Syada mengingatkan orang ramai agar tidak terlalu cepat mengadili mereka yang bergelut dengan masalah kemurungan.
“Jangan cakap benda bukan-bukan atau buat spekulasi. Contohnya, kau mesti jadi begini sebab tak solat, sebab jauh dari Allah.
“Mungkin betul dan mungkin juga salah. Walau serapat mana kita dengannya, jangan sesekali berkata begitu. Harap membantu,” katanya. – KOSMO! ONLINE.