KLANG – Seorang lelaki warga emas diselamatkan selepas dikatakan tidak bermaya di atas bumbung rumahnya di Pandamaran Jaya di sini, hari ini.
Lelaki berusia 87 tahun itu dikatakan cuba membaiki bumbung berkenaan sebelum tidak dapat turun ke bawah dan terbaring kerana lemah.
Difahamkan, lelaki tersebut berada di atas bumbung itu lebih setengah jam dan disedari jiran sekeliling yang menghubungi pihak bomba untuk bantuan.
Penolong Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 1.44 petang.
“Setiba di lokasi, terdapat satu lelaki warga emas berada di atas bumbung dalam keadaan tidak bermaya (lemah).
“Mangsa telah berjaya dibawa turun dengan selamat sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan selanjutnya,” katanya hari ini. – KOSMO!ONLINE