JAKARTA – Seorang lelaki di Bogor, wilayah Jawa Barat membelasah tunangnya menggunakan topi keledar selepas mendapati mangsa masih menyimpan gambar bekas kekasihnya, lapor portal berita Okezone semalam.
Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Bogor, Asisten Komisioner Luthfi Olot, suspek telah ditahan dan mengakui perbuatannya.
“Insiden berlaku disebabkan suspek cemburu kerana mangsa masih menyimpan gambar bekas teman lelakinya.
“Dia kemudian memukul mangsa menggunakan topi keledar sehingga terkena pada kelopak matanya. Mangsa cedera akibat kejadian itu,” katanya.
Tambah Luthfi, suspek menjelaskan bahawa dia menyesali perbuatannya, manakala kes tersebut dianggap telah selesai selepas kedua-duanya berdamai.
“Mereka berdamai kerana sudah bertunang dan akan berkahwin dalam waktu terdekat,” ujarnya. – AGEN