BATU PAHAT – Sebarang kenaikan harga makanan di kantin sekolah pada sesi persekolahan akan datang hendaklah diadukan terus kepada Kementerian Pendidikan (KPM).
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya meminta setiap sekolah mengambil tindakan sewajarnya kerana isu berkaitan kantin adalah antara pihak sekolah dan juga pengusaha kantin.
Katanya, bagaimanapun pihak KPM akan memberikan perhatian sewajarnya sekiranya ada aduan-aduan yang sampai ke kementerian tersebut, namun jelasnya setakat ini ianya belum ada.
“Sekiranya ada aduan, setakat ini mungkin berlaku antara pihak sekolah dan kantin, jadi kita minta ianya diselesaikan secara baik.
“Namun sekiranya ada isu berkaitan dan ianya terus berbangkit bolehlah buat aduan terus kapada kita (KPM),” katanya ketika diminta mengulas berkenaan harga makanan di kantin sekolah pada sesi persekolahan akan datang selepas mengadakan lawatan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yeong Chang, di Sungai Suloh dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Mahmood Iskandar di Batu Pahat hari ini.-KOSMO! ONLINE