Ada yang mengatakan mati sebelum Hari Kiamat adalah lebih baik berbanding mati semasa Kiamat disebabkan fitnahnya yang amat dahsyat. Apakah hukum mengharapkan meninggal dunia sebelum Kiamat disebabkan untuk menjaga keimanan dan mengelakkan fitnah hari Kiamat? Adakah meninggal dunia sebelum Kiamat adalah lebih baik?
Jawapan: Hari Kiamat merupakan hari yang sangat dahsyat. Dalam bahasa Arab, ia disebut sebagai al-Sa’ah Menurut bahasa, al-Sa’ah merupakan satu juzuk (bahagian) daripada siang dan malam. Akan tetapi, Allah SWT telah menamakan Kiamat ini dengan beberapa nama sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Qur’an.
Kedahsyatan hari Kiamat ini menyebabkan manusia lupa akan perihal mereka sendiri demi untuk menyelamatkan diri sendiri sebagaimana gambaran dalam firman Allah SWT: “Hari (hari Kiamat) yang kamu melihat kegoncangan itu, lalailah semua wanita yang menyusui anaknya dengan meninggalkan anak yang disusuinya itu dan gugurlah kandungan segala wanita yang hamil dan kamu melihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal mereka tidak mabuk, akan tetapi azab Allah itu sangat keras.” Surah al-Hajj ayat 2.
Imam Jalal al-Din al-Mahalli menyebutkan dalam tafsirnya: “ (Pada hari kalian melihat kegoncangan itu lalailah) disebabkannya, (semua wanita yang menyusui anaknya) yang sebenarnya (dari anak yang disusukannya) ia melupakannya (dan gugurlah dari semua wanita yang sedang mengandung) yakni sedang hamil (kandungannya dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk) disebabkan tercengkam perasaan takut yang amat hebat (padahal sebenarnya mereka tidak mabuk) disebabkan minuman keras (akan tetapi azab Allah itu sangat keras) maka mereka takut kepada azab itu. (Lihat Tafsir al-Jalalain, hlm. 433)
Berdasarkan soalan di atas, terdapat hadis yang melarang kita mengharapkan kematian kecuali dikhuatiri terkena fitnah yang mengugat keimananan sebagaimana diriwayatkan Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Janganlah salah seorang di antara kalian mengharapkan untuk mati kerana musibah yang menimpanya. Jikalau benar-benar mengharapkan kematiannya, hendaknya dia mengatakan, “Ya Allah, hidupkanlah aku jika kehidupan itu baik untukku. Dan matikanlah aku jika kematian itu baik bagiku.”
Begitu juga dengan hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah seseorang mengharapkan kematian dan janganlah berdoa meminta mati sebelum datang waktunya, sesungguhnya jika mati salah seorang daripada kamu, terputus amalannya, dan sesungguhnya tidak bertumbuh umur orang beriman itu kecuali dengan kebaikan.” Riwayat Muslim (2682)
Terdapat juga hadith yang menyebutkan bahawa mengharapkan kematian ini juga termasuk di dalam tanda-tanda Kiamat yang kecil sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan terjadi Kiamat sehingga ketika seseorang melalui perkuburan orang lain lalu dia mengatakan: ‘alangkah untungnya jika aku berada di tempatnya’” Riwayat al-Bukhari (7115), dan Muslim (157)
Justeru, mengharapkan kematian sebelum tempohnya disebabkan putus asa dengan kehidupan dan ujian di dunia ini sangat dilarang sama sekali. Namun, jikalau pengharapan itu disebabkan kerisauan kepada fitnah iman dan agama, maka pengharapan itu dibolehkan, tetapi wajib disertai dengan doa yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Sesungguhnya Allah SWT telah memilih manusia untuk hidup sesuai dengan zaman serta ajalnya. Orang beriman yang diuji dengan fitnah akhir zaman ini merupakan manusia yang terpilih yang mampu menghadapi ujian tersebut untuk terus kekal beriman kepada Allah.
Setiap daripada manusia termasuk orang beriman yang hidup semasa tanda-tanda besar Kiamat berlaku pasti akan terkena ujian dan fitnahnya untuk menguji keimanan mereka.
Namun, hari Kiamat yang sebenar tidak akan dihadapi oleh orang mukmin kerana Allah SWT akan mengutuskan angin yang lembut untuk mencabut roh setiap orang yang beriman supaya mereka tidak melihat dan merasai kedahsyatan hari Kiamat. Beberapa hadith telah menunjukkan bahawa kejadian keluarnya angin ini berlaku setelah turunnya Nabi ‘Isa AS dan terbunuhnya Dajjal dan binasanya Ya’juj dan Ma’juj, iaitu setelah berakhirnya tanda-tanda besar Kiamat.
Terdapat sebuah riwayat yang thabit tentang sifat angin yang bertiup tersebut, ia adalah angin yang lebih lembut daripada sutera. Hal itu merupakan kemuliaan yang Allah SWT berikan kepada hamba-hambaNya yang beriman pada zaman yang penuh dengan fitnah ini. Hal ini dapat dijelaskan berdasarkan riwayat yang terdapat dalam hadith panjang yang menceritakan tentang kisah Dajjal, turunnya nabi Isa AS, serta keluarnya Ya’juj dan Ma’juj, dan kemudiannya datangnya angin ini. Hadith ini diriwayatkan oleh al-Nawwas bin Sam’an RA, bahawa Rasulullah SAW menceritakannya dalam petikan hadith tersebut:
Tiba-tiba Allah mengutus angin yang lembut, sehingga (angin tersebut) mengambil (mematikan) mereka dari bawah ketiak-ketiak mereka, lalu diambillah setiap roh orang mukmin dan muslim, dan yang berbaki hanyalah manusia yang paling jahat. Mereka menggauli wanita-wanita mereka secara terang-terangan bagaikan keldai, maka kepada merekalah Kiamat akan terjadi.”Riwayat Muslim (2937)
Daripada Abdullah bin ‘Amr R.anhuma, beliau berkata, Rasulullah SAW menceritakan:
“Dajjal keluar kepada umatku dan menetap selama 40 – (Perawi hadith ini berkata: Aku tidak tahu: 40 hari atau 40 bulan atau 40 tahun), kemudian Allah mengutus Isa bin Maryam seakan-akan ia adalah ‘Urwah bin Mas’ud, lalu beliau (Nabi Isa AS) mencarinya (Dajjal), kemudian membinasakannya. Seterusnya manusia berdiam selama tujuh tahun di mana tidak ada permusuhan di antara dua orang. Lalu Allah mengutus angin dingin dari arah Syam, tidak ada seorang pun di muka bumi yang memiliki kebaikan atau keimanan sebesar biji sawi di dalam hatinya melainkan Allah mencabutnya, walaupun seseorang di antara kalian masuk ke tengah-tengah gunung niscaya angin tersebut akan memasukinya sehingga ia mencabutnya (mematikannya).” Riwayat Muslim (2940)
Hari Kiamat ini akan berlaku selepas ketiadaan orang beriman sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Tidak akan terjadi Kiamat, sehingga tidak ada lagi orang di muka bumi ini menyebut: Allah… Allah…”Riwayat Muslim (148)
Hanya orang-orang tidak beriman dan sejahat-jahat manusia sahaja yang akan berhadapan dengan hari Kiamat ini, sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Termasuk manusia yang jahat adalah yang mengalami ketika terjadinya Kiamat sedangkan ia dalam keadaan hidup.”
Riwayat al-Bukhari (7067)
Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan oleh beliau juga, Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak akan berlaku Kiamat, kecuali terhadap manusia-manusia yang jahat.”
Riwayat Muslim (2949)
Imam al-Munawi menyatakan dalam syarahnya: “Dan demikian Allah mengutuskan angin yang lembut, maka diambil roh setiap orang yang beriman sehingga tidak ada yang tinggal kecuali sejahat-jahat manusia. Demikian pula, sesungguhnya terjadi keluarnya angin tersebut setelah matahari terbit dari barat, setelah keluarnya binatang besar (dari perut bumi) juga pelbagai tanda-tanda besar Kiamat yang lainnya.” (Lihat Faidh al-Qadir, 6/417)
Justeru, keluarnya angin daripada arah Syam sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr RA, sangat dekat dengan terjadinya Kiamat dan setelah berlakunya tanda-tanda Kiamat yang besar.
Namun terdapat hadith lain yang mengatakan angin tersebut datang daripada arah Yaman sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah mengutuskan angin dari arah Yaman yang lebih lembut daripada sutera, angin itu tidak akan pernah meninggalkan seorang pun yang di dalam hatinya terdapat keimanan seberat biji sawi melainkan dia mencabutnya (mewafatkannya).”Riwayat Muslim (117)
Berkenaan pertembungan antara hadith yang menyatakan angin tersebut datang dari Syam dan hadith yang menyatakan ianya datang dari arah Yaman, Imam al-Nawawi menyatakannya dengan dua jawapan:
Pertama: Kemungkinan akan ada dua angin, iaitu dari arah Syam dan juga dari arah Yaman.
Kedua: Kemungkinan juga bahawa pada awalnya angin tersebut datang dari salah satu di antara dua daerah tersebut, kemudian sampai ke arah salah satu dari dua arah itu, dan angin tersebut menyebar di sana.
(Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/133)
Berdasarkan nas dan hujah yang telah kami kemukakan, kami nyatakan bahawa setiap daripada kita mestilah menerima dan beriman dengan ketentuan dan ketetapan yang Allah SWT telah tetapkan kepada kita termasuklah hal yang berkaitan dengan kematian dan juga hari Kiamat tanpa ada sedikit pun keraguan.
Kesimpulannya, kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa bersedia untuk menghadapi saat-saat fitnah akhir zaman ini. Hal ini kerana, tidak ada yang dapat menyelamatkan kita daripada segala fitnah dan ujian ini melainkan dengan iman.
Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara dan mengekalkan iman kita agar kita tergolong daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang berjaya di dunia dan akhirat. Amin.
Wallahua’lam