SEREMBAN – Dua beradik ditangkap polis kurang tujuh jam selepas seorang lelaki warga emas ditemui maut dengan kecederaan tikaman di belakang badan dan kedua buku lali di sebuah rumah di Kampung Pasir, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kira-kira pukul 10.10 pagi, pihak menerima maklumat berkenaan lelaki berusia 74 tahun yang tidak bekerja dijumpai sudah meninggal dunia di rumah berkenaan.
Menurutnya, susulan kejadian itu, seorang lelaki ditahan lebih kira-kira pukul 5 petang tadi berhampiran kawasan kejadian dan seorang lagi dipanggil ke balai polis untuk siasatan lanjut.
“Kedua-dua mereka merupakan adik-beradik berusia 25 dan 18 tahun. Siasatan masih dijalankan termasuk motif kejadian. Mayat lelaki warga emas berkenaan telah di bawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban untuk bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Sementara itu, P. Chandru, 35, berkata, dia segera ke rumah jirannya itu selepas pulang dari kerja sebaik dimaklumkan bapanya pagi tadi terdengar suara jirannya meminta tolong pada tengah malam.
Menurutnya, bapanya mempunyai masalah mata kabur dan memintanya untuk melihat keadaan jirannya itu.
“Saya segera ke rumah sekitar pukul 9.11 pagi dan sebaik membuka pintu rumah, saya terkejut jiran saya itu sudah terbaring tidak jauh dari pintu dengan terdapat banyak darah di bahagian kaki serta tubuh jiran juga sudah bersemut.
“Saya segera ke balai polis terdekat untuk melaporkan kejadian yang kali pertama berlaku di kampung kami ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE