KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan kegiatan seorang lelaki yang disyaki menggodam dan menjual data milik agensi kerajaan menerusi laman sesawang ‘darkweb’, 25 Disember lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lelaki tempatan berusia 24 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di ibu kota.
“Hasil siasatan yang dilakukan, mendapati lelaki tersebut disyaki telah menjual data di laman sesawang tersebut dengan harga dolar Amerika Syarikat (AS) 200 bersamaan RM927 untuk setiap set data dan pembayaran adalah dalam bentuk mata wang kripto,” katanya pada sidang akhbar khas di Menara KPJ, di sini, hari ini.
Tambah Ramli, pengesanan terhadap lelaki itu berjaya dilakukan hasil kecekapan Unit Siasatan Jenayah Cryptocurrency, JSJK.
“Kegiatan pertukaran mata wang membabitkan krypto yang sering dikaitkan untuk urusniaga di ‘pasaran gelap’ sebenarnya lebih mudah dikesan kerana lebih sistematik (sistem urusniaga mata wang itu).
“Lelaki itu telah dibebaskan dengan jaminan polis pada 29 Disember lalu sementara siasatan dilengkapkan. Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Ramli berkata, portal SemakMULE JSJK dibangunkan dengan matlamat untuk memberikan akses secara langsung kepada masyarakat dalam menyemak akaun bank serta nombor telefon yang mungkin digunakan oleh scammer.
“Setakat ini, sejumlah 160,095 akaun bank serta nombor telefon telah disenaraikan di dalam portal ini.
“Sejak mula dibuka sehingga sekarang, portal SemakMULE telah dilawati sebanyak 24,257,824 kali dan jumlah carian yang dibuat telah mencecah 21,215,287 carian,” katanya.
Menurutnya, daripada jumlah carian tersebut, sejumlah 1,575,219 percaya, carian telah memberikan jawapan positif.
“Kita percaya, maklum balas tersebut telah membantu pengguna dan menyelamatkan wang mereka dari dipindahkan ke akaun scammer.
“Masyarakat dinasihatkan agar terus menggunakan kemudahan ini untuk mengelakkan kerugian akibat terpedaya dengan scammer,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.