BUKAN hanya ibadah untuk diri sendiri, penyanyi dan pelakon Indonesia Bunga Citra Lestari atau BCL turut menunaikan umrah buat Allahyarham Ashraf Sinclair.
Berkongsi perkara tersebut, BCL, 40, memberitahu dia melakukan umrah buat Ashraf kelmarin dan berharap ibadah dan tersebut diterima Allah SWT.
“Alhamdulillah, malam ini (kelmarin) menjalankan ibadah umrah untuk Ashraf.
“Insya-Allah diterima oleh Allah SWT,” katanya ringkas.
Sementara itu, dalam perkongsian berbeza, pelantun lagu Cinta Sejati itu menzahirkan rasa syukur kerana diberi peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah bersama keluarganya.
“Rasa sangat khusyuk, terharu dapat menjejakkan kaki di Tanah Suci Mekah dan beribadah di hadapan Kaabah.
“Saya sangat bersyujur kerana akhirnya dapat berada di sini dengan keluarga, subhanallah,” katanya lagi.
Terdahulu, BCL berangkat ke Mekah ditemani suaminya, Tiko Aryawardhana dan anaknya, Noah Aidan Sinclair serta ibunya, Emmy Muchlis pada 31 Januari lalu.
Pada 2 Disember tahun lalu, BCL melangsungkan pernikahan dengan Tiko di Bali, Indonesia selepas hampir tiga tahun bergelar ibu tunggal.
Sebelum itu, dia mendirikan rumah tangga bersama Ashraf pada November 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Noah.
Jodoh pasangan tersebut hanya 12 tahun apabila Ashraf dilaporkan meninggal dunia pada Februari 2020 akibat serangan jantung di kediaman mereka di Jakarta. – KOSMO! ONLINE