BANGKOK – Seorang wanita berusia 60 tahun cemas selepas barang kemas miliknya yang berharga lebih 2 juta baht (RM270,475) hilang, lapor laman berita Thaiger semalam.
Barang kemas itu dibuang oleh cucunya yang menyangka ia adalah sampah.
Wanita bernama Wandee itu bagaimanapun menarik nafas lega apabila koleksi barang berharga tersebut dijumpai oleh seorang pengutip sampah yang menyangka ia adalah emas palsu.
Dalam kejadian kelmarin, Wandee berkata, dia meletakkan barang kemas itu di dalam dua beg yang kemudiannya dibuang oleh cucunya.
Koleksi tersebut terdiri daripada enam jongkong emas mini, enam rantai leher, lima gelang tangan, lima tangkal Buddha, tiga cincin berlian, sebentuk cincin kerongsang berlian, lapan cincin emas, sepasang anting-anting emas, dua pasang anting-anting berlian dan gelang berlian.
Seorang pengutip sampah berusia 46 tahun menemui beg mengandungi barangan kemas itu sebelum membawanya pulang ke rumah untuk ditunjukkan kepada suaminya kerana menyangka ia adalah palsu.
Selepas menerima laporan mengenai kehilangan barang kemas tersebut, polis menjejaki pengutip sampah terbabit berdasarkan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV).
Barang berharga itu dipulangkan ke balai polis sebelum ia diserahkan kepada Wandee. – AGENSI