PARIS – Aksi Piala Juara-Juara menentang Toulouse di Stadium Parc des Princes awal pagi esok dijangka menjadi trofi terakhir buat bintang Perancis, Kylian Mbappe bersama Paris Saint-Germain (PSG).
Keadaan itu ekoran situasi Mbappe yang kini bebas untuk melakukan rundingan dengan mana-mana kelab pada jendela perpindahan Januari ini memandangkan kontraknya bersama PSG sudah memasuki enam bulan terakhir.
Penyerang berusia 26 tahun itu menarik minat gergasi-gergasi dunia termasuk juara 14 kali Eropah, Real Madrid yang setia menantikan kehadirannya selain Liverpool dan terbaharu yang dikaitkan ialah Arsenal.
Percubaan Real bagi mendapatkan khidmat Mbappe dengan nilai mencecah £174 juta (RM1.01 bilion) pada jendela perpindahan musim panas lalu menemui jalan buntu apabila dia mengambil keputusan untuk kekal di PSG.
Meskipun kecewa dengan sikap Mbappe berhubung rundingan sebelum ini, namun Real dikatakan masih memberikan peluang kepada Mbappe untuk memberikan kata putus berhubung perpindahan ke Santiago Bernabeu pertengahan Januari ini.
Difahamkan, PSG sudah bersedia untuk menerima tawaran ‘mega’ daripada Real, Liverpool ataupun Arsenal selain turut memiliki perancangan tersendiri sekiranya Mbappe mengambil keputusan berhijrah.
Bagaimanapun, pihak pengurusan PSG juga masih belum berputus asa untuk mengekalkan Mbappe di Parc des Princes, namun enggan melakukan tawaran ‘gila’ kepada pemenang Piala Dunia 2018 itu. – AGENSI