SEREMBAN – Kes membabitkan seorang doktor gigi dan suaminya yang juga warga asing ditemukan mati di rumah mereka di sebuah kondominium Jalan Keliling, di sini, semalam, masih kekal diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, mendapati keputusannya masih belum dipastikan.
Menurutnya, bedah siasat sudah dijalankan di HTJ pagi tadi dan mendapati keputusannya ‘undetermined’.
“Ia memerlukan analisis lanjut di makmal kimia sebelum mendapat keputusan. Buat masa ini polis masih mengklasifikasikan kes sebagai SDR berdasarkan siasatan di tempat kejadian dan pemeriksaan pada tubuh badan kedua-dua si mati yang mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang dikesan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Terdahulu, polis menerima maklumat mengenai kematian wanita berusia 31 tahun dan suaminya berusia 34 tahun itu pada pukul 12.49 tengah hari.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua mereka adalah suami isteri yang mana lelaki terbabit berkhidmat sebagai tenaga pengajar di sebuah sekolah antarabangsa Port Dickson manakala isterinya, doktor di sebuah klinik pergigian di Linggi. – KOSMO! ONLINE