PETALING JAYA – Dewan Rakyat akan bersidang selama 69 hari pada tahun ini, dengan sidang pertama bermula 26 Februari hingga 27 Mac iaitu selama 19 hari.
Menerusi Portal Rasmi Parlimen Malaysia memaparkan, Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 pada 26 Februari yang mana Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ia disusuli dengan Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja pada 27 Februari, manakala penggulungan oleh menteri-menteri berkaitan bermula 11 hingga 14 Mac.
Bagi pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) kerajaan akan berlangsung bermula 18 hingga 27 Mac yang mana, pada waktu itu Dewan Rakyat bersidang serentak dengan Dewan Negara.
Seterusnya ialah Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 berlangsung selama 15 hari iaitu dari 24 Jun hingga 18 Julai, kemudian Mesyuarat Ketiga pula selama 35 hari iaitu 7 Oktober hingga 5 Disember.
Pembentangan Belanjawan 2025 pula dijadualkan pada 11 Oktober pukul 4 petang.
Sementara itu, Persidangan Dewan Rakyat berlangsung pada Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis bermula pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari, manakala sesi petang pada pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang. – KOSMO! ONLINE