TUARAN – Ibu remaja yang meninggal dunia akibat demam denggi berdarah reda dengan pemergian anaknya namun mengharapkan ia menjadi iktibar serta pengajaran untuk semua pihak.
Lily Pius, 40, berkata, kehilangan anak kedua daripada enam beradik itu sangat dirasai mereka sekeluarga namun beliau akur dengan ketentuan takdir.
“Mendiang Aidil merupakan anak yang baik dan sentiasa mendengar cakap orang tua. Aidil juga seorang yang sangat disenangi oleh adik beradik dan rakan-rakan.
“Memang sehingga kini kami masih sukar untuk menerima pemergian Aidil, tetapi siapalah kita, hidup dan ajal manusia ada di tangan Tuhan.
“Walau bagaimanapun, saya mengharapkan tragedi ini menjadi suatu iktibar dan berharap agar perkara yang sama tidak berulang lagi kepada sesiapa di masa hadapan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bulieng.
Terdahulu, tular di media sosial hantaran Facebook Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkongsi kisah remaja malang tersebut yang telah dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Tuaran sebanyak tiga kali namun hanya diberikan panadol, ubat pecah kahak, pam asthma serta suntikan anti mual. – KOSMO! ONLINE