fbpx

Penyeludup gagal seludup petrol, minyak masak bersubsidi ke Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad menunjukkan sambungan paip kepada tangki tambahan pada sebuah kereta bagi mengisi petrol bersubsidi untuk diseludup ke Thailand.

PADANG BESAR – Polis menahan 22 individu yang sebahagiannya disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan petrol dan diesel serta minyak masak bersubsidi dalam operasi selama dua minggu berhampiran pintu sempadan Malaysia-Thailand di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim memberitahu, tangkapan 22 suspek itu melibatkan enam lelaki tempatan serta 11 lelaki dan lima wanita warga Thailand berusia lingkungan 19 hingga 74 tahun.

Katanya, operasi yang memberi tumpuan terhadap pencegahan jenayah serta aktiviti penyeludupan barangan dan migran itu dilakukan pada 16 Disember tahun lalu hingga Jumaat lalu.

“Kebanyakan mereka disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan petrol dan diesel serta minyak masak bersubsidi.

“Tiga daripada tangkapan adalah individu dikehendaki bagi kes narkotik di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar di sini hari ini.

Kata beliau, selain itu, penahanan suspek turut melibatkan kes penyitaan kenderaan kerana melanggar kesalahan jalan raya di bawah Seksyen 6(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, hasil rampasan sepanjang tempoh operasi adalah kira-kira RM1.07 juta melibatkan 12 trak pikap, dua kereta, 1,400 liter petrol, 981.5 liter diesel, 69 peket minyak masak bersubsidi serta beberapa peralatan pengisian minyak.

Tambahnya, sepanjang operasi tersebut, pihaknya dapat mengesan seterusnya mematahkan cubaan penyeludupan barangan bersubsidi yang selama ini berselindung di sebalik pergerakan harian dalam masyarakat awam.

“Kita percaya mereka yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan ini kerana upah diberikan. Nilai upah berbeza mengikut perjalanan dan nilai barang yang mahu diseludup,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI