KLANG – Seorang lelaki maut apabila lori muatan tanah dipandunya terbabas memasuki parit selepas menuruni bukit di persimpangan lampu isyarat di Jalan Meru Tambahan, Meru di sini, hari ini.
Kemalangan kira-kira pukul 12.20 tengah hari itu mengakibatkan mangsa berusia 29 tahun yang memandu lori jenis Nissan Rigid dari arah Shah Alam meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera pada kepala.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, lori berkenaan dipercayai hilang kawalan selepas menuruni bukit di laluan tersebut lalu terbabas memasuki parit di bahu jalan berkenaan.
“Pemandu itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan dihantar ke hospital berdekatan bagi bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi.-KOSMO! ONLINE