fbpx

PADU henti ketirisan perbelanjaan, subsidi kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar

PETALING JAYA – Kerajaan melancarkan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi menghentikan ketirisan perbelanjaan dan subsidi yang sepatutnya dimanfaatkan oleh golongan yang memerlukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak sanggup untuk membiarkan ketirisan dana kerajaan berterusan atau membenarkan hak orang-orang susah dirampas golongan kaya dan berkemampuan.

Menurut Anwar, kerajaan sebelum ini membelanjakan sekitar RM22 bilion untuk membantu rakyat miskin dan mereka yang memerlukan khususnya di desa dan pedalaman.

“Namun, semua kajian menunjukkan tidak semua peruntukan ini sampai kepada golongan sasar kerana wujud pelbagai ketirisan.

“Bahkan subsidi yang kini berjumlah hampir RM80 bilion yang sepatutnya hanya dinikmati orang-orang susah, turut dinikmati 3.5 juta warga asing dan golongan mahakaya.

“Mana mungkin masih wujud miskin tegar dalam negara ini sekiranya perbelanjaan berjumlah RM22 bilion dan subsidi RM80 bilion itu semuanya sampai kepada golongan miskin dan orang-orang susah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Anwar berkata, pelancaran PADU adalah bertujuan untuk menghentikan ketirisan memastikan hanya mereka yang berhak dapat menikmati subsidi serta manfaat lain menerusi penyasaran yang berkesan.

Untuk rekod, pendaftaran PADU telah dibuka bermula semalam sehingga 31 Mac depan bagi membolehkan orang ramai membuat kemas kini serta mengesahkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.

Semua rakyat berusia 18 tahun ke atas boleh mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU yakni https://padu.gov.my/. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI