KOTA BHARU – Seorang lelaki ditemui maut selepas saluran darah jantungnya tersumbat semasa berada di dalam sebuah kereta di depan deretan kedai berhampiran Pasar Cabang Tiga, Pengkalan Chepa di sini semalam.
Mangsa yang berusia 45 tahun itu dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kereta jenis Toyota Vios sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 malam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 10.17 malam.
Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk dibedah siasat.
“Hasil bedah mendapati mangsa meninggal dunia akibat saluran darah jantungnya tersumbat.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu bagi menghormati keluarga mangsa. – KOSMO! ONLINE